KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia hari ini, sentiasa dikenang sebagai seorang negarawan yang hebat, baik hati, penyabar dan berakhlak mulia” kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
“Beliau tidak pernah berdendam dan sentiasa menuturkan kata-kata yang baik,” kata Wong yang sebagai wartawan membuat liputan meluas mengenai beliau, selain mengikuti Abdullah yang juga bekas Menteri Luar, dalam banyak lawatan rasmi ke luar negara.
Mengenang pengalamannya secara peribadi, Wong berkata “Beliau sentiasa meluangkan masa untuk para wartawan yang mengiringi, walau sesibuk dan sepenat mana harinya, dengan menjemput (kami) ke biliknya untuk mendengar pandangan kami tentang peristiwa yang berlaku,” sambil menambah bahawa ada antara sesi perbualan itu berlarutan sehingga lewat tengah malam.
Wong, yang membuat liputan empat Perdana Menteri Malaysia sepanjang kerjayanya sebagai wartawan, berkata “Pak Lah seorang yang luar biasa.”
Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN). Berita itu disahkan menantunya Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran di media sosial.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA