KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa kementerian dan agensi terlibat supaya mengambil kira kolaborasi merentas agensi, perkongsian infrastruktur, sumber, bakat atau sinergi kepakaran sedia ada dalam membina ekosistem digital yang inklusif dan mampan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) memberi tumpuan kepada mempercepatkan inisiatif penambahbaikan perkhidmatan Internet di universiti awam, perluasan aplikasi MyGOV Malaysia melalui pengintegrasian Pangkalan Data Utama (PADU) dan penyelarasan gagasan kecerdasan buatan (AI) negara.
"Fokus ini adalah penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan digital serta kecemerlangan akademik, memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan dan memastikan pembangunan AI yang bertanggungjawab dan beretika," katanya menerusi catatan di laman media sosial rasmi beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat MED4IRN Bilangan 2 Tahun 2025 dan menerima kemajuan pelaporan yang positif terkait dengan usaha memperkukuh landskap digital dan AI secara menyeluruh.
-- BERNAMA