KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar berkata beliau menerima berita yang amat menyentak jiwa, apabila Pak Lah yang merupakan sahabatnya telah kembali menemui ilahi sebentar tadi.
“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur, lantas meruntun jiwa yang hiba. Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.
“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” kata beliau.
Anwar berkata Abdullah menerapkan pendekatan Islam Hadhari, sekali gus menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai sewaktu menerapkan pendekatan Islam Hadhari.
Anwar berkata di bawah kepemimpinan Abdullah, negara telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan institusi.
“Beliau adalah susuk yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.
“Namun lebih daripada segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan,” kata beliau.
Anwar juga mengimbau kenangan bersama Abdullah yang memimpin negara dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi, meski diasak bertubi-tubi.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham Tun Jeanne Abdullah dan keluarga, serta memaklumkan seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.
“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” kata beliau.
-- BERNAMA