AM

EMPANGAN BAKUN LAKUKAN PELEPASAN AIR TERKAWAL MULAI JUMAAT

14/04/2025 05:13 PM

SIBU, 14 April (Bernama) -- Sarawak Energy akan melaksanakan pelepasan air terkawal dari takungan air Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun bermula 18 April hingga 9 Mei ini sebagai sebahagian usaha rutin pengurusan airnya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, syarikat itu memaklumkan pelepasan yang telah diluluskan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak itu bertujuan melindungi integriti empangan dan mengawal paras sungai susulan pengumpulan lebih 700 juta meter padu air.

“Orang awam telah dimaklumkan lebih awal menerusi pengumuman dan hantaran di media sosial. Walaupun paras air di hilir mungkin meningkat, pelepasan akan dikawal dengan teliti bagi meminimumkan kesan kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu. 

Sarawak Energy memaklumkan penduduk digesa untuk terus berwaspada terhadap kemungkinan berlaku perubahan arus air sungai.

Menurut kenyataan itu operasi bermusim ini merupakan amalan standard dan mencerminkan kecekapan pengurusan air oleh Sarawak Energy, yang disokong oleh sistem pengurusan pelepasan air dinamik yang diperkenalkan pada 2020.

Sistem itu membolehkan ramalan jangka panjang dan digunakan di loji hidroelektrik Bakun, Murum dan Batang Ai.

“Sarawak Energy memberi jaminan bahawa operasi dijalankan mengikut piawaian keselamatan dan alam sekitar antarabangsa, termasuk yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Empangan Besar Antarabangsa (ICOLD) dan Piawaian Kelestarian Hidroelektrik (HSS),” menurut kenyataan itu.

Orang awam digalakkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui media sosial Sarawak Energy dan aplikasi SEB Cares.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan