KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Delegasi Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan tarif timbal balas Presiden Donald Trump, perlu mengetengahkan naratif kukuh seperti ekosistem perniagaan mantap dan peluang pelaburan strategik di negara ini, kata Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AmCham).
Kenyataan itu dibuat ketika Putrajaya membuat persiapan menghantar pegawai ke Washington pada 23 April, 2025, untuk memulakan dialog mengenai tarif timbal balas 24 peratus dikenakan AS ke atas Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif AmCham Datuk Siobhan Maire Das berkata Malaysia juga mempunyai rasional kukuh untuk kalangan syarikat multinasional (MNC) melabur di negara ini, sejajar peranan MNC yang turut menyumbang kepada ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Peranan itu bukannya berasingan, sebaliknya saling berkaitan. Salah satu perkara yang kita perlu faham secara domestik adalah apa yang boleh dilakukan di sini untuk mengukuhkan lagi kedudukan supaya wakil ke AS dengan yakinnya dapat mengetengahkan aspek itu,” katanya kepada pemberita selepas menyertai sesi perbincangan di Bursa Malaysia hari ini.
Siobhan berkata AmCham misalnya telah melakukan libat urus dengan kerajaan AS dan Malaysia, sebahagian besarnya menerusi dialog tertutup selain mesyuarat produktif dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Bagi saya, pihak berkuasa sedang melakukan usaha (berhubung perkara itu). Walaupun banyak yang boleh kita lakukan di peringkat negara, jangkauan kita terhad apalagi dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN. Oleh itu, saya percaya kita perlu mencari peluang serta ruang untuk berbincang,” katanya.
Beliau berkata pertemuan AmCham dengan Washington pula dijadualkan pada Julai depan dengan wakil dewan itu menemui kerajaan AS untuk mengetengahkan kebimbangan serta peluang perniagaan.
Pada masa sama, Siobhan juga menekankan bahawa libat urus secara langsung antara syarikat-syarikat dan pentadbiran AS lazimnya menerusi MNC yang bertindak menyampaikan semula kebimbangan dan peluang berkaitan kepada kerajaan AS.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata MITI perlu mengekalkan kedudukan Malaysia yang tidak cenderung ke atas negara-negara tertentu sambil mengukuhkan lagi hubungan dengan semua negara dan menyertai blok perdagangan sedia ada.
“Kita juga perlu terus meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang pada saya amat penting selain memanfaatkan perdagangan dua hala dengan negara jiran.
“Bagi konteks ASEAN, kita sedar masih banyak ruang untuk mengukuhkan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN," katanya.
Pada 2 April lepas, Trump bertindak mengumumkan tarif timbal balas ke atas import kira-kira 90 negara yang melangkaui cukai 10 peratus ke atas semua import ke negara maju itu.
Langkah itu menyaksikan peningkatan duti import ke atas beberapa rakan dagang utama Washington, termasuk Malaysia yang kini dikenakan tarif 24 peratus.
Pada minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya akan menghantar pegawai ke Washington untuk memulakan dialog dengan AS berhubung tarif berkenaan.
Baru-baru ini, Trump mengumumkan rancangan penangguhan sementara kenaikan tarif itu selama 90 hari bagi meredakan kegelisahan pasaran berikutan ketidaktentuan susulan pelaksanaan tarif berkenaan.
-- BERNAMA