KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bekas pekerja syarikat pemaju perumahan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdayakan seorang wakil syarikat keselamatan bagi membantu mempercepat proses tuntutan bayaran berhubung kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Malliga, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Malliga didakwa memperdayakan wakil syarikat Angkasa Security Services Sdn Bhd M. Loganathan, 40, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,500 dengan memasukkan wang itu ke dalam akaun bank tertuduh untuk membantu mempercepat proses tuntutan bayaran syarikat berkenaan berkaitan kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan di tapak projek sebuah kondominium bagi Oktober dan November 2019 serta Feb 2020.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama di sini antara 26 Nov 2019 dan 8 Mac 2020 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, empat lagi pertuduhan sama yang dihadapi tertuduh sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Asmaa’ Zamri memohon hukuman berat mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan wanita itu.
Peguam Datuk S. Murugesan memohon hukuman denda mengambil kira anak guamnya mempunyai anak berusia lapan tahun serta suaminya menghidap penyakit diabetes yang memerlukan perbelanjaan rawatan RM200 sebulan.
"Anak guam saya sudah tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan, dia kini menjual air minuman ringan dengan pendapatan RM800 sebulan. Dia sudah menyesal dan insaf serta berjanji akan kembali ke pangkal jalan," kata peguam itu.
-- BERNAMA