KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pan Merchant Bhd telah mendapat kelulusan Bursa Malaysia untuk langkah tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE dalam suku kedua 2025.
Syarikat kejuruteraan tempatan itu terbabit dalam bidang reka bentuk serta pembuatan penyelesaian penapisan, kepakaran pemasangan, penghantaran dan pentauliahan penekan penapis dan penapis kedap udara serta reka bentuk dan fabrikasi kapal atau peralatan berasaskan keluli.
Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata ia juga mencatat kehadiran antarabangsa yang kukuh dengan lebih 80 peratus produknya dieksport ke Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
Pan Merchant turut mengendalikan operasi pejabatnya di Malaysia, Singapura, Netherlands dan Amerika Syarikat selain tiga kemudahan pengeluarannya di Ipoh, Perak.
“Kemudahan itu terletak di kawasan berkeluasan 10 ekar dan mempunyai pelbagai kemampuan pengeluaran bagi memenuhi permintaan ketara dalam pasaran penapisan pepejal cecair global yang meningkat daripada RM12 bilion pada 2019 kepada RM21.9 bilion dalam 2023,” katanya.
Pengarah Urusannya Wong Voon Ten berkata langkah penyenaraian itu penting kerana dapat memperkasa syarikat untuk mengembangkan kemampuannya selain menyediakan khidmat lebih baik bagi keperluan industri serta pengguna akhir.
“Menerusi sumber pasca sumber, kami berharap dapat meraih inovasi lebih mantap menerusi aktiviti pembangunan produk serta jangkauan global lebih meluas menerusi pelan pengembangan strategik, sekali gus menyampaikan pembentukan nilai lebih kukuh bagi pihak berkepentingan.
“Sejak lebih tiga dekad lepas, syarikat ini telah berkembang daripada sebuah syarikat kecil kepada pemain global dan bersaing di pentas antarabangsa dalam industri penyelesaian penapisan pepejal cecair,” katanya.
Affin Hwang Investment Bank Bhd berperanan sebagai penasihat prinsipal, penaja, ejen penempatan tunggal dan penajajamin tunggal bagi IPO.
-- BERNAMA