PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Kestabilan dan kekuatan dalaman negara merupakan asas penting bagi Malaysia memainkan peranan bermakna di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk dalam kerangka kerjasama ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata hasrat murni untuk membantu negara-negara lain seperti Myanmar atau Gaza, tidak akan dapat direalisasikan sekiranya Malaysia sendiri gagal mengurus negara secara telus dan berkesan.
“Kalau negara kita tidak stabil, tidak diurus dengan baik, fokus hanya kepada kekayaan peribadi dan keluarga, maka sebarang hasrat murni untuk membantu negara seperti Myanmar atau Gaza tidak akan bermakna,” katanya.
Dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini, Anwar turut menyeru kepada amalan tadbir urus yang baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan sebagai asas bagi memperkukuh peranan Malaysia dalam ASEAN.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada warga MOF atas kejayaan menganjurkan Sidang Menteri-Menteri Kewangan ASEAN minggu lepas yang berlangsung dengan lancar dan berkualiti tinggi.
Anwar berkata mutu perbincangan serta fokus kepada isu-isu besar menjadikan kejayaan penganjuran Sidang Menteri-Menteri Kewangan ASEAN itu sebagai satu pencapaian membanggakan buat Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Kepada Menteri (Kewangan) II Datuk Seri Amir Hamzah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta timbalan-timbalan dan semua pihak terlibat, tahniah saya ucapkan,” katanya.
Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berakhir baru-baru ini berjaya mengukuhkan integrasi dan kerjasama kewangan di rantau ini.
AFMGM dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 10 April lepas dengan kehadiran kira-kira 300 delegasi, terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, pegawai daripada institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta.
Dalam konteks hala tuju ASEAN, Anwar menegaskan keperluan untuk menumpukan perhatian kepada isu-isu dalam kawalan dan keupayaan rantau ini, seperti memperkukuh kerjasama ekonomi intra-ASEAN, berbanding konflik antarabangsa yang sukar diselesaikan.
Beliau memberi contoh inisiatif konkrit seperti peluasan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau, termasuk melalui mekanisme seperti Inisiatif Chiang Mai (Chiang Mai Initiative - CMI).
“Kita mulakan (dengan) sekitar 20 peratus daripada urusan dagang (di antara Malaysia) dengan Indonesia dengan Thailand, kini menggunakan mata wang tempatan. Ini kejayaan-kejayaan awal, tetapi ruang untuk berdagang antara negara-negara masih besar dan ruang untuk mengembangkan perdagangan antara negara-negara ASEAN masih luas,” katanya.
CMI merupakan rangka kerja pertukaran mata wang antara 10 negara ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3), yang ditubuhkan pasca Krisis Kewangan Asia 1997 bagi mengukuhkan jaringan keselamatan kewangan serantau.
Anwar turut mengimbas visi asal penubuhan ASEAN oleh pemimpin terdahulu termasuk Perdana Menteri Malaysia ke-2 Allahyarham Tun Abdul Razak, yang mahu menjadikan Asia Tenggara sebagai zon aman dan berkecuali daripada pengaruh kuasa besar semasa era Perang Dingin.
“Kini kita sebut prinsip centrality, iaitu menjaga hubungan baik dengan semua pihak tanpa mengorbankan kepentingan negara dan rantau kita,” katanya.
-- BERNAMA