LAHAD DATU, 13 April (Bernama) -- Bekas Ahli Parlimen Silam Datuk Salleh Kalbi, 61, meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada 4.40 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru.
Perkara itu disahkan isteri Allahyarham, Datin Fatmah Abdul Aziz dan memaklumkan suaminya telah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.
“Jenazah diuruskan dan disolatkan di Masjid Firdaus Kampung Sapagaya dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Terusan selepas Zohor hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Fatmah berkata Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang baik, bersifat rendah diri serta berjiwa rakyat.
Beliau berkata arwah seorang yang mudah didekati rakyat malah ketika di akhir hayat, arwah masih meneruskan perjuangan membela rakyat di Lahad Datu.
Allahyarham ialah wakil rakyat Barisan Nasional untuk Parlimen Silam (kini dikenali sebagai Parlimen Lahad Datu) pada 2008 hingga 2013, beliau meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata perempuan.
-- BERNAMA