AM

MBS ARAH PEMILIK PREMIS GANTI SEGERA JALUR GEMILANG LUSUH, KOYAK

11/04/2025 08:06 PM

SEREMBAN, 11 April (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengingatkan pemilik premis dalam kawasan pentadbirannya agar segera menggantikan bendera Malaysia dan Negeri Sembilan yang telah lusuh atau koyak.

Datuk Bandar MBS Datuk Masri Razali berkata perkara itu selaras dengan arahan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menetapkan beberapa garis panduan agar penggunaan Jalur Gemilang sentiasa dihormati.

Beliau berkata mengibarkan bendera yang telah uzur seperti pudar dan koyak adalah satu kesalahan atau ketidakwajaran.

"Warga Seremban meminta semua pihak menghormati dan menjaga bendera kebangsaan dan negeri kita dengan baik kerana ia melambangkan semangat patriotisme yang tinggi bagi rakyat khususnya negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masri berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan berkaitan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBS atau muat turun secara percuma Aplikasi Respons Rakyat, selain hubungi talian 06-7654444.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan