SEREMBAN, 11 April (Bernama) -- Empat ekor kambing milik penternak di Kampung Jelatok Lenggeng Mantin, mati dipercayai diserang harimau kumbang pada awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 9.50 pagi.
"Hasil di lokasi kejadian mendapati harimau kumbang itu disyaki memasuki kandang kambing melalui kawasan ladang sawit yang berhampiran.
"Tiga ekor kambing mati dibaham di dalam kandang manakala seekor anak kambing dibawa lari oleh harimau kumbang ke luar sebelum ditinggalkan tidak jauh dari kawasan kandang itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut mengesan tapak kaki harimau kumbang di sekitar kawasan kandang kambing itu dan akan memasang perangkap bagi menangkap haiwan buas terbabit.
Faizal berkata penternak berkaitan dinasihatkan supaya menutup kandang dan mengawasi ternakan mereka, terutama pada waktu malam.
“Penduduk sekitar dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri apabila ternampak kelibat harimau kumbang di kawasan penempatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu, pemilik kandang kambing berkenaan Abdul Rahman Abdullah, 70, ketika dihubungi berkata dia dimaklumkan kejadian itu menerusi panggilan telefon oleh menantunya Erlinda Ahmad, 47, pada 6 pagi selepas terdengar ngauman harimau di kawasan kebun.
"Ini kejadian kedua ternakan peliharaan saya dibaham harimau kumbang, sebelum ini beberapa ekor anak ayam saya dibaham haiwan itu, kali ini kambing pula, saya terpaksa menanggung lagi kerugian lebih kurang RM5,000,” katanya.
-- BERNAMA