KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi, bantuan kewangan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memberi ruang ‘bernafas’ kepada golongan berpendapatan rendah untuk mengurus keperluan asas keluarga dengan lebih teratur tanpa tekanan berlebihan.
Di NEGERI SEMBILAN, Zainab Baba, 70, seorang warga emas berasa lega kerana mampu menguruskan keperluan sendiri tanpa bergantung kepada anaknya, selain tidak mahu menambah beban mereka dalam menguruskan keperluan keluarga.
"Alhamdulillah, makcik guna untuk beli barangan dapur, tolong tambah barangan yang tidak cukup di rumah. Siapa nak bagi kita RM100 hingga RM150 sebulan? Kalau dikirakan setahun bantuan ini mencecah RM1,650 berbanding tahun lepas RM1,200," katanya ketika ditemui Bernama di Seremban.
Ibu tunggal kepada lima anak yang kini tinggal bersama anak bongsunya berkata bantuan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban anaknya yang bekerja sebagai penghantar barangan.
Program SARA adalah sumbangan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berstatus miskin dan miskin tegar berdaftar dalam eKasih dengan menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.
Bermula 1 April lepas, pelaksanaan SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima, peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.
Suri rumah, Fazilah Ibrahim, 42, pula berkata bantuan RM100 hingga RM200 yang diterima setiap bulan digunakan untuk membantu suaminya yang bekerja di kilang dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.
Beliau berkata bantuan itu digunakan untuk membeli keperluan empat anaknya yang berusia antara dua hingga 14 tahun.
"Alhamdulillah syukur sangat, ada duit lebihan dapat kami beli barang keperluan anak-anak,” katanya yang turut menguruskan jualan barangan terpakai secara kecil-kecilan bagi mencari pendapatan tambahan keluarga.
Sementara itu, di KELANTAN, Hasyani Jusoh, 46, dari Kampung Sri Kulim, Melor memanfaatkan bantuan itu sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak dan telur.
“Bantuan ini memberi ruang kepada kami untuk mengurus perbelanjaan harian dengan lebih teratur. Ia digunakan untuk membeli keperluan asas yang semakin meningkat dari segi harga,” katanya.
Beliau turut menggunakan bantuan itu bagi membeli peralatan persekolahan lima anaknya yang berumur antara 10 hingga 19 tahun, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan suaminya yang bekerja sebagai buruh.
Bantuan SARA turut memberi kesan positif kepada Mohd Zulhairi Awang Soh, 30, dari Gunong, Bachok yang menggunakannya untuk membeli kelengkapan anaknya berusia sembilan bulan.
“Bantuan bulanan ini sangat membantu mengurangkan beban kos barang-barang keperluan harian yang semakin mahal,” katanya yang bekerja sebagai buruh, manakala isterinya Zura Mat Ali, 29 adalah suri rumah.
Sejak Januari hingga Mac tahun ini, bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima.
Bermula 1 April lepas, kadar bantuan ditingkatkan kepada RM200 sebulan untuk pembelian makanan, minuman, ubatan, barang persekolahan dan kebersihan diri di lebih 1,600 kedai dan pasar raya berdaftar di seluruh negara.
-- BERNAMA