AM

AMARAN RIBUT PETIR, HUJAN LEBAT DI SEMBILAN NEGERI HINGGA 1 PAGI INI

09/04/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di sembilan negeri hingga 1 pagi ini.

MetMalaysia dalam kenyataan dikeluarkan pada 8.15 malam ini memaklumkan negeri terlibat ialah seluruh Perlis, Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap serta Perak membabitkan kawasan Kinta dan Kampar.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan di Pahang meliputi Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Rompin.

Beberapa kawasan di Negeri Sembilan iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin serta Jasin di Melaka dan Tangkak di Johor turut dijangka mengalami cuaca buruk.

Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kapit (Belaga) serta Miri meliputi Beluru, Telang Usan dan Marudi.

Sementara itu di Sabah, kawasan pedalaman Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan dan Keningau serta kawasan Pantai Barat membabitkan Papar turut diramal mengalami keadaan cuaca sama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan