PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Malaysia akan menerima lawatan negara oleh Presiden China Xi Jinping bermula 15 hingga 17 April ini, kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Jemaah Menteri menganggap lawatan berkenaan sebagai signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan.
“Lawatan ini bukan hanya dinantikan, tapi adalah sebahagian daripada usaha Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan ingin melihat hubungan perdagangan yang lebih baik dengan pelbagai negara termasuk China,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi berkata maklumat lanjut mengenai lawatan Presiden China itu akan diumumkan Wisma Putra.
-- BERNAMA