Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Melalui pendekatan yang mengutamakan rakyat, Pengerusi Bukan Eksekutif Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) Tan Sri Lim Keng Cheng berkata visinya terhadap pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah berteraskan nilai kasih sayang dan kesinambungan, khususnya dalam memastikan kebajikan semua pekerja sedia ada terus terpelihara.
“Mereka telah berkhidmat di menara ini selama bertahun-tahun. Sebagai syarikat yang kini mengendalikan operasinya, saya tidak percaya kepada dasar menggantikan pekerja hanya kerana berlaku perubahan. Jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan besar, mengapa perlu digantikan?” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Sebagai tokoh berpengalaman dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah negara, Lim berkata gaya kepimpinannya banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidup yang ditempuhi sejak kecil dalam keluarga yang serba sederhana.
Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri pembinaan, beliau berkata pendekatannya sentiasa berasaskan rasa tanggungjawab bersama dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Saya baru berusia tujuh tahun apabila ayah saya menghidap kegagalan buah pinggang. Ibu terpaksa membawanya ke Hospital Besar tiga kali seminggu dan pada masa sama menguruskan kedai runcit kecil untuk menyara kami sekeluarga. Pengalaman itu mengajar saya betapa sukarnya kehidupan orang biasa,” katanya.
“Mereka kata saya bertuah. Saya jawab, tidak, saya bukan bertuah. Saya pernah melalui pelbagai kesusahan hidup, dan atas sebab itulah saya sentiasa berusaha membantu orang lain. Saya percaya bahawa apabila kita menjaga kebajikan orang lain, segala urusan kita juga akan dipermudahkan,” tambahnya.
Menurut Lim, ketika rundingan bagi pengambilalihan operasi Menara KL dijalankan, beliau menetapkan bahawa kebajikan kakitangan adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Saya beritahu mereka, berikan sahaja senarai nama petugas. Tiada syarat lain. Kami bukan datang untuk menyingkirkan sesiapa, sebaliknya untuk membina bersama,” katanya sambil menambah bahawa empati dan kebaikan sentiasa menjadi panduan dalam membuat keputusan sama ada secara peribadi mahupun profesional.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata LSH Capital akan terus menggalas tanggungjawab dengan penuh profesionalisme dan integriti — berlandaskan keyakinan bahawa apabila manusia dihormati, mereka akan berkembang dan maju.
“Kami tidak mahu memulakan sesuatu usaha dengan menyusahkan orang lain. Kami mahu bekerjasama dan membina bersama mereka. Itulah cara yang betul,” katanya.
Lim turut menolak khabar angin bahawa pekerja sedia ada Menara KL akan digantikan di bawah pengurusan baharu, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
Setakat 7 April, sebanyak 95 peratus atau 193 pekerja Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) telah menerima tawaran dan mula berkhidmat secara rasmi dengan syarikat itu sejak 1 April lepas.
Terma yang ditawarkan kepada semua pekerja adalah tidak kurang baik berbanding syarat terdahulu, sekali gus memastikan kesinambungan manfaat dan perkhidmatan sepenuhnya.
Dalam aspek penjenamaan produk, Lim berkata beliau tidak melihat pembangunan bertingkat tinggi lain di Kuala Lumpur, seperti KLCC atau TRX, sebagai pesaing. Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai pelengkap yang memperkayakan landskap langit ibu kota dan meningkatkan pengalaman pengunjung dari Menara KL.
“Jika anda berada di KLCC, anda tidak dapat melihat KLCC. Namun, apabila berada di Menara KL, anda boleh melihat keseluruhan Kuala Lumpur. Menara KL dianggap sebagai titik tinjau terbaik kerana dari situ, pemandangan yang lebih luas dapat dilihat. Semakin banyak menara dibina di sekitar kita, semakin menarik pemandangannya. Menara KL akan menjadi lebih bernilai kepada jurugambar, pelancong, dan pencinta bandar,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada visi LSH Capital, beberapa penambahbaikan sedang dirancang termasuk menaik taraf kawasan teres, memperkenalkan bumbung boleh buka untuk dewan baharu, serta menambah ciri pencahayaan khas yang menonjolkan struktur Menara KL tanpa menutup pemandangan ikonik terus ke Menara KL.
“Menara ini adalah sebahagian daripada jiwa bandar. Walaupun menara lain dibina di sekeliling kita, kita tetap menjadi tumpuan,” katanya sambil membayangkan kerjasama dengan hotel serta hartanah berhampiran bagi mewujudkan pengalaman panorama 360 darjah yang menyeluruh.
LSH Capital telah menandatangani perjanjian pajakan selama 20 tahun dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk memodenkan dan mengurus satu daripada mercu tanda ikonik negara, iaitu Menara KL serta kawasan sekitarnya.
Perjanjian pajakan tersebut selari dengan konsesi yang diberikan oleh kerajaan yang merangkumi pengurusan, operasi, dan penyelenggaraan Menara KL dan kawasan sekelilingnya.
Perjanjian yang berkuat kuasa mulai 1 April itu memberikan hak kepada LSH Service Master Sdn Bhd ke atas lebih kurang 10 ekar tanah termasuk tapak Menara KL, Teres Menara dan kawasan sekitarnya.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh LSH Service Master Sdn Bhd, iaitu usaha sama antara LSH BEST Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd, dengan pegangan 70 peratus dimiliki oleh LSH BEST Builders manakala baki 30 peratus oleh Service Master.
Menara KL masih dimiliki kerajaan, dengan perubahan hanya melibatkan aspek pengurusan dan operasi menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) melalui proses notis pelawaan cadangan (RFP).
Proses RFP dikendalikan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan pemegang konsesi dipilih berdasarkan penilaian Jemaah Menteri, yang telah diumumkan pada 29 Mei 2024.
-- BERNAMA