DUNIA

TRUMP ANCAM CHINA DENGAN TARIF TAMBAHAN 50 PERATUS

08/04/2025 11:00 AM

ISTANBUL, 8 April (Bernama-Anadolu) -- Dalam perkembangan terkini ketegangan perang perdagangan global yang berterusan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengancam untuk mengenakan tarif tambahan 50 peratus ke atas China, selain tarif timbal balik 34 peratus yang diumumkan minggu lepas.

"Semalam, China mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus, selain tarif mereka yang sudah sedia tinggi, halangan bukan monetari, subsidi haram syarikat, dan manipulasi mata wang jangka panjang -- walaupun saya sudah memberi amaran bahawa mana-mana negara yang membalas tindakan AS dengan mengeluarkan tarif tambahan, selain daripada penyalahgunaan jangka panjang mereka terhadap negara kami, akan segera dikenakan tarif baharu yang jauh lebih tinggi,” kata Trump menerusi media sosial. 

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya China tidak menarik balik kenaikan tarif 34 peratus itu sebelum 8 April, beliau akan melaksanakan tarif tambahan 50 peratus, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai Rabu, tambahnya.

“Selain itu, semua rundingan dengan China berkaitan permohonan mesyuarat mereka dengan kami akan dibatalkan. Rundingan dengan negara lain yang turut memohon mesyuarat dengan kami akan dimulakan segera,” kata Trump.

Pada Rabu lalu, Presiden AS itu mengumumkan tarif timbal balik yang menyeluruh ke atas lebih 180 negara, dengan kadar antara 10 peratus hingga 50 peratus.

China dikenakan tarif sebanyak 34 peratus.

Sebagai tindak balas, Beijing turut mengenakan tarif tambahan 34 peratus ke atas semua import dari AS - langkah yang dilihat sebagai tindak balas setimpal.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan