AM

SARAWAK PERUNTUK RM200,000 SETAHUN SELENGGARA BALAI BOMBA SUNGAI MERAH

08/04/2025 10:11 AM

SIBU, 8 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM200,000 setiap tahun bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan penyelenggaraan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata kementerian itu juga turut merancang menyediakan kemudahan perumahan mampu milik berhampiran balai berkenaan bagi memberi peluang anggota bomba memiliki kediaman sendiri.

“Anggota bomba perlu diberi peluang memiliki rumah mampu milik kerana mereka berkhidmat kepada komuniti dengan penuh komitmen dan mesti diberikan keutamaan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri 1446H/2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di BBP Sungai Merah malam tadi. 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Othman Abdullah serta Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran.

Dalam pada itu, Tiang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata kemajuan pesat yang dinikmati Sarawak ketika ini didorong oleh semangat perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. 

Beliau berkata meskipun rakyat Sarawak datang daripada latar belakang yang berbeza dari segi kaum, agama dan budaya namun perbezaan itu bukan penghalang untuk menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan mesra.

“Anda boleh lihat bagaimana Sarawak berkembang hari ini kerana kami menghargai budaya berbeza antara satu sama lain dan hari ini kita meraikan hari raya bersama rakan-rakan Muslim kita di Sarawak dan bersama-sama menikmatinya,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan