AM

LESTARI KEWANGAN, BANTU TUNAIKAN HAJI PADA USIA MUDA - PAKAR

08/04/2025 08:36 AM

Oleh Nurliyana Farhan Ruslan

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Merancang kewangan yang teliti dan cekap sangat penting untuk membolehkan umat Islam menunaikan ibadah haji pada usia muda tanpa dibebani dengan masalah kewangan.

Ini termasuk melakukan simpanan secara konsisten serta pelaburan patuh syariah dalam usaha memastikan dana haji dapat dikumpulkan dengan berkesan tanpa menjejaskan komitmen kewangan yang lain.

Prof Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata literasi kewangan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin dan tingkah laku kewangan bertanggungjawab, khususnya bagi golongan muda yang berhasrat untuk menunaikan haji. 

"Satu kaedah terbaik ialah membuka akaun simpanan khas untuk haji seperti di Tabung Haji yang menawarkan agihan keuntungan yang kompetitif, bebas zakat kerana sudah pun ditunaikan dan kemudahan pendaftaran haji. 

"Selain itu, pelan simpanan bulanan secara automatik juga dapat memastikan simpanan dapat dilakukan secara konsisten tanpa gangguan selain pelaburan dalam instrumen patuh syariah jangka masa panjang yang berisiko rendah, juga boleh membantu menambah nilai simpanan haji," katanya ketika ditemui Bernama.

Muhammad Irwan turut menyarankan setiap individu memperuntukkan 10 hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan untuk simpanan haji bergantung kepada komitmen kewangan serta tempoh sebelum menunaikan haji. 

"Setiap individu memiliki sumber dan komitmen kewangan yang berbeza, jadi peratusan ini sekadar satu saranan dan bukanlah kemestian. Sekiranya seseorang mula menyimpan lebih awal contohnya, 10 hingga 15 tahun sebelum haji, peratusan simpanan yang lebih rendah sudah mencukupi.

"Bagi pekerja sektor awam yang mempunyai pendapatan tetap serta manfaat persaraan yang terjamin, kadar simpanan dicadangkan ialah sekitar 10 peratus hingga 15 peratus.

“Sementara bagi pekerja sektor swasta, yang mempunyai tahap kestabilan pendapatan yang berbeza-beza, kadar simpanan disarankan sekitar 12 peratus hingga 18 peratus bergantung kepada faedah yang mereka terima daripada majikan," katanya.

Beliau berkata bagi golongan bekerja sendiri, usahawan dan pekerja sektor gig, serta individu yang mempunyai pendapatan yang tidak menentu, mereka memerlukan strategi simpanan lebih fleksibel. 

Beliau berkata mereka boleh menyimpan 20 peratus atau lebih semasa memperoleh pendapatan tinggi dan mengurangkan simpanan ketika pendapatan lebih rendah kerana tidak mempunyai manfaat majikan dan perlu membiayai sendiri persaraan serta keselamatan sosial.

Selain menyimpan secara tunai, umat Islam yang ingin menjadi Duyyufurrahman di usia muda juga boleh melabur dalam aset patuh syariah seperti sukuk, emas, atau dana unit amanah sebagai alternatif untuk meningkatkan simpanan haji mereka.

"Individu yang masih muda boleh memulakan dengan kadar yang lebih kecil, sekitar lima hingga 10 peratus dan meningkatkannya secara beransur-ansur. Mereka yang mempunyai pendapatan lebih tinggi berpeluang untuk menyimpan pada kadar lebih besar dan mencapai matlamat simpanan lebih awal," katanya.

Muhammad Irwan berkata mereka yang menunaikan haji pada usia muda mempunyai kelebihan dari aspek fizikal dan kesihatan sekali gus dapat mengurangkan keperluan untuk perbelanjaan perubatan yang tinggi semasa menunaikan haji, iaitu sesuatu yang sering memberikan beban kewangan bagi jemaah haji yang lebih berusia.

"Oleh itu, umat Islam perlu meningkatkan ilmu tentang perancangan kewangan Islam agar mereka dapat menunaikan ibadah haji pada usia muda dengan lebih tenang dan sempurna dengan memulakan simpanan awal, mengamalkan gaya hidup berhemat dan mengelak daripada melakukan hutang yang tidak perlu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan