KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan kempen Labur Kasih Sayang serta filem raya berjudul Amanah Sulung yang disiarkan di platform media sosial ASNB.
PNB dalam kenyataan memaklumkan kempen itu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk memulakan tabiat menyimpan sebagai tanda kasih sayang serta tanggungjawab bagi memastikan masa depan lebih kukuh untuk diri mereka dan orang tersayang.
“Tema kempen ini diterjemahkan melalui pelbagai kisah dan inisiatif yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk melihat amalan menabung sebagai tanda kasih buat diri sendiri dan mereka yang bermakna,” katanya.
Menurutnya, filem Amanah Sulung adalah sebahagian daripada kempen Labur Kasih Sayang yang meraikan nilai kasih sayang dan pengorbanan sebagai dorongan untuk melabur demi masa depan yang lebih cerah.
Menerusi watak Kak Long, filem itu mengetengahkan pengorbanan yang sering tidak disedari dalam keluarga yang dilakukan demi masa depan insan tersayang, sekali gus mencerminkan nilai utama ASNB iaitu tanggungjawab, ketabahan dan komitmen untuk memperkasakan kehidupan merentasi generasi.
Selain itu, ASNB turut melancarkan dua kempen bertemakan Raya iaitu Kempen Labur Tanda Kasih dan Labur Ceria Si Cilik yang mencerminkan komitmen ASNB dalam menjadikan pelaburan lebih mudah diakses, berbaloi dan bermakna pada setiap langkah.
Kempen Labur Tanda Kasih memberikan ganjaran kepada pelabur yang menetapkan Auto Labur di myASNB dan melengkapkan pemotongan Auto Labur antara 24 Mac hingga 31 Mei 2025, dengan mereka berpeluang memenangi duit raya dalam bentuk PIN Touch 'n Go.
Kempen Labur Ceria Si Cilik pula mengajak ibu bapa untuk melabur dalam ASB atau ASB 2 bagi akaun anak-anak dan berdasarkan jumlah pelaburan terkumpul, seramai 3,000 pelabur terawal berpeluang memenangi unit percuma.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee dalam kenyataan sama berkata setiap langkah kecil dalam menabung boleh membawa kepada sesuatu yang lebih besar.
“Sempena Hari Raya ini, kami mahu mengajak semua untuk memahami kepentingan menabung dan kestabilan yang boleh dicapai menerusinya serta terus komited bersama PNB dalam mempromosikan literasi kewangan dan membantu lebih ramai rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan dengan yakin,” katanya.
-- BERNAMA