AM

JADIKAN IBADAH UMRAH ALAT KAUT KEUNTUNGAN PERBUATAN HINA, KEJI - MOHD NA'IM

07/04/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Menjadikan ibadah umrah sebagai alat mengaut keuntungan adalah perbuatan yang hina dan keji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Merujuk kes penipuan perkhidmatan umrah melibatkan penggunaan wajah selebriti dan ahli keluarga mereka, Mohd Na’im berkata menipu atas nama agama adalah jenayah berat dan Allah SWT melarang sekeras-kerasnya perbuatan itu seperti terkandung dalam al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 188,

“Saya ingin merakamkan simpati dan solidariti kepada semua yang telah menjadi mangsa penipuan ini. Menipu dalam urusan ibadah adalah satu pengkhianatan besar terhadap agama, terhadap amanah umat Islam dan terhadap nilai kemanusiaan.

“Menjadikan ibadah suci sebagai alat untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan yang hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berdiam diri dan tindakan undang-undang yang tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu, kumpulan atau syarikat yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan umrah.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menyeru semua pengendali perkhidmatan umrah agar sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan.

Beliau berkata orang ramai pula perlu menyemak dan memastikan agensi umrah terlibat, berdaftar dan sah di sisi undang-undang sebelum membuat pembayaran.

“Jangan mudah percaya dengan gambar artis, testimoni atau video yang belum tentu sahih dan sentiasa periksa latar belakang syarikat dan perkhidmatan ditawarkan,” katanya sambil menambah mangsa atau saksi penipuan diminta segera membuat laporan kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Baru-baru ini, selebriti popular Neelofa meminta seorang lelaki berhenti menjalankan kegiatan penipuan perkhidmatan umrah dengan menggunakan wajah ibunya Datin Noor Kartini Noor Mohammed dan adik Ameera Khan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan