AM

INSIDEN PUTRA HEIGHTS: BOMBA HANTAR PENYIASAT TEKNIKAL KE PUSAT KAWALAN UTAMA PETRONAS SEGAMAT

07/04/2025 06:02 PM

SEPANG, 7 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menghantar sepasukan penyiasat teknikal ke Pusat Kawalan Utama Petronas Segamat, Johor sebagai sebahagian daripada aspek penyiasatan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata ia juga bertujuan mendapatkan log data saluran gas termasuk faktor tekanan gas yang dipercayai dapat membantu siasatan insiden berkenaan. 

“Kita juga menumpukan siasatan dari segi teknikal, jadi pasukan kita lima orang, kita lantik sebagai penyiasat teknikal dan telah dihantar ke Segamat untuk dapatkan maklumat lanjut dan data log.

“Maksudnya data log tiga minggu sebelum ini, untuk kita buat analisis lanjut dengan dapatan yang boleh merungkai kejadian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Pendakian Bomba De Everest di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 di sini hari ini.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terbakar tetapi tidak mengalami kesan kepada struktur dan bakinya 218 rumah didapati tidak terkesan.

Nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran itu dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan