PASIR MAS, 7 April (Bernama) -- Seramai 41 pegawai dan anggota tentera darat telah diberhentikan daripada perkhidmatan kerana terlibat dengan kes buli dan penderaan yang membabitkan anggota bawahan sejak tahun 2019, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Beliau berkata mereka terdiri daripada 12 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat.
"Kita tidak akan kompromi langsung (dengan kes buli) sama ada melibatkan pegawai sendiri ataupun anggota-anggota bawahan," katanya kepada pemberita meninjau ke kawasan Operasi Briged Kelapan (8 Briged) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pos Tok O, Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Beliau berkata kejadian buli atau penderaan merupakan satu pengkhianatan kepada pasukan, dan Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak mengambil ringan berhubung perbuatan itu, malah menganggap setiap anggota bawahan sebagai saudara yang wajib dilindungi.
“Insiden yang menimpa Prebet Muhammad Muqriz Aseri amat dikesali dan memberi kesan besar kepada institusi ketenteraan. Saya amat kesal dan bersedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham (Muhammad Muqriz). Ini satu-satunya kejadian yang benar-benar memberi kesan kepada TDM,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Muqriz, 21, dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak meninggal dunia pada 24 Mac akibat trauma tumpul pada dada.
TDM dalam kenyataan mengesahkan telah menerima laporan insiden kematian anggotanya itu memaklumkan trauma tumpul pada dada merujuk kepada hentakan kuat di bahagian badan berkenaan menyebabkan kerosakan pada jantung.
Muhammad Hafizuddeain berkata kedua-dua anggota yang disyaki terlibat dalam kes itu telah direman hingga 9 April ini bagi membantu siasatan, dan Lembaga Siasatan TDM turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti perintah tetap dan prosedur pasukan.
Sementara itu merujuk kepada kes seorang anggota tentera darat yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini terhadap pertuduhan kes menumbuk seorang pemandu wanita di Jalan Persiaran Senawang 4, Negeri Sembilan, beliau berkata anggota berkenaan masih bertugas seperti biasa.
Beliau berkata sepanjang tempoh siasatan, anggota terbabit tidak dibenarkan campur tangan dalam sebarang urusan berkaitan kes itu sehingga proses siasatan oleh pihak polis selesai sepenuhnya.
“Anggota itu masih lagi dalam pasukan dan kita telah mengambil tindakan serta memberi nasihat sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA