AM

KEBAKARAN PAIP GAS: ALLIANCE BANK TAWAR BANTUAN KEPADA PELANGGAN, PEKERJA TERLIBAT

07/04/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd menawarkan program bantuan bagi meringankan beban kewangan pelanggan dan pekerjanya yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April lepas.

Bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata pelbagai pilihan bantuan ditawarkan termasuk penangguhan pembayaran pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian pembayaran balik pinjaman selain pengecualian yuran dan caj untuk pelanggan serta perniagaan yang terjejas.

"Program bantuan keringanan ini menawarkan bantuan pembayaran untuk semua pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan Islam.

"Bank ini juga akan mengecualikan yuran dan caj untuk perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit dan kad mesin juruwang automatik (ATM) serta buku cek dan buku simpanan yang hilang atau rosak akibat kebakaran," katanya.

Permohonan berkenaan dibuka dari sekarang sehingga 27 April 2025.

Pelanggan dan pekerja boleh mengetahui lebih lanjut mengenai program tersebut dengan menghubungi wakil khidmat pelanggan bank di talian (03) 5516 9988 atau bertemu dengan pengurus hubungan mereka secara langsung.

Katanya, semua permohonan untuk bantuan akan dinilai oleh bank secara kes demi kes.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan