KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Resak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan bencana ribut yang melanda sekitar Parlimen Sungai Buloh semalam.
Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan berkata beliau telah melawat 25 mangsa daripada tujuh keluarga itu yang sedang berlindung di PPS berkenaan bagi meninjau keadaan mereka, dan menerima taklimat antaranya daripada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, MBSA (Unit Pantas), bomba dan polis.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang telah bertungkus-lumus dan bekerjasama dengan team Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa yang terjejas.
“Saya telah mengarahkan agar bantuan keperluan harian disalurkan segera, khususnya bagi memastikan keselesaan kanak-kanak dan golongan sakit. Saya juga menyantuni keluarga-keluarga yang terkesan dan menyelami sendiri keluhan serta keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjalin kerjasama erat dengan agensi Kerajaan Negeri Selangor bagi menyegerakan segala bentuk bantuan, termasuk bantuan pelbagai peralatan elektrik, melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada mangsa yang memerlukan.
Semalam Ramanan dilaporkan berkata jentera Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh digerakkan serta-merta bagi menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kejadian ribut di Kampung Melayu Subang dan Subang Perdana, Shah Alam, Selangor.
Kejadian ribut petang semalam menyebabkan beberapa rumah penduduk termasuk kemudahan awam mengalami kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA