AM

“SALAH PIJAK, BOLEH TERJELUS,” ANGGOTA BOMBA KONGSI DETIK GERUN DI GROUND ZERO

07/04/2025 04:35 PM

Oleh Lucia Terey Anak John

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama)  -- "Kami perlu berhati-hati dalam setiap langkah. Tanah di sini sangat lembut, salah pijak, kami boleh terjerlus ke dalam."

Itulah kata-kata yang menggambarkan detik-detik mendebarkan yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyiasat teknikal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika menyiasat kawasan sekitar kawah yang terbentuk akibat letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa lepas.

Bercerita lebih lanjut kepada Bernama, Penguasa Kanan Bomba I, Noor Shaifful Nizam Sulaiman, 41, berkata kebimbangan mereka bukan sekadar mengenai keadaan tanah yang tidak stabil, tetapi juga risiko sisa gas yang masih tertinggal di kawasan tersebut.

“Selepas letupan ini, terdapat pelbagai impak yang berlaku. Selain kebimbangan kemungkinan terdapat lagi gas yang terperangkap, kami juga tidak tahu sejauh mana dalamnya kawah ini.

“Dengan struktur tanah yang lemah akibat hujan beberapa hari sebelumnya, kawasan ini boleh runtuh pada bila-bila masa. Oleh itu, setiap langkah kami perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati,” katanya, yang merupakan antara lima pegawai penyiasat teknikal bomba yang terlibat dalam siasatan kawah tersebut.

Menurut Noor Shaifful Nizam, mereka tidak berseorangan di lapangan kerana pasukan mereka dibantu oleh pelbagai agensi, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), yang bertugas menandakan kawasan selamat dengan bendera untuk memastikan perjalanan pasukan penyiasat terjamin. 

Selain itu, teknologi canggih seperti dron dengan fungsi pengesanan suhu turut digunakan untuk memantau keadaan di kawasan kawah yang berisiko tinggi itu.

Walaupun berpengalaman dalam menangani beberapa kes letupan, termasuk insiden letupan di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya pada 2011, Noor Shaifful Nizam mengakui bahawa rasa takut tetap ada.

Namun, beliau menanamkan semangat positif dalam diri bahawa insiden di Putra Heights ini membolehkannya mempelajari banyak perkara baru, memandangkan keadaan di situ yang dianggap sangat mencabar dan ‘tricky’.

Bagi Penolong Penguasa Bomba Siti Nuraini Ab Rashid, 40, yang terlibat dalam pasukan siasatan penilaian kerosakan di kediaman yang terjejas, cabaran mereka bukan hanya berkisar pada risiko runtuhan struktur bangunan, tetapi juga menangani emosi mangsa yang terganggu akibat kejadian tersebut.

“Ada kalanya, apabila kami masuk ke rumah untuk menilai kerosakan atau kemusnahan harta benda, kami dimarahi mangsa yang tidak mahu memberi kerjasama. 

“Tetapi kami sabar kerana kami faham, emosi mereka terganggu dan mereka sedang melalui waktu yang sukar," katanya.

Selain cabaran teknikal, pasukan penyiasat juga perlu bekerja tanpa henti, kadang-kadang dari pagi hingga lewat malam, tanpa penggiliran yang mencukupi.

"Di Malaysia, bilangan pegawai penyiasat bomba sangat terhad. Macam saya dari JBPM Negeri Sembilan, kami hanya ada 12 orang manakala di negeri yang besar, mungkin hanya 20 orang.

“Jadi apabila berlaku bencana, kebiasaanya mereka ini akan dipinjamkan sementara ke kawasan kejadian tetapi jumlahnya tetapi tidak mencukupi,” katanya, yang turut menyifatkan insiden ini sebagai pengalaman yang menginsafkan dirinya, kerana ramai keluarga kehilangan harta benda, lebih-lebih lagi apabila berlaku pada sambutan Aidilfitri.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad sebelum ini dilaporkan berkata seramai 25 pegawai penyiasat dari lima negeri telah dikerahkan ke lokasi kejadian letupan itu dengan lima daripada mereka melakukan siasatan teknikal manakala selebihnya membuat penilaian berhubung peratusan kerosakan serta kemusnahan di rumah-rumah terjejas.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 buah separa musnah, 57 terkesan tapi tidak terbakar manakala 218 rumah lagi tidak terjejas.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan