KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited untuk memastikan bekalan makanan yang selamat, berkhasiat, dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia, khususnya golongan yang memerlukan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sempena Hari Kesihatan Sedunia 2025, beliau menyedari hubungan rapat antara pemakanan seimbang dan kesihatan keluarga, terutamanya bagi golongan ibu dan kanak-kanak.
“Tema sambutan tahun ini, ‘Permulaan Sihat, Masa Depan Cerah’ menekankan kepentingan penjagaan kesihatan ibu dan anak sebagai asas utama kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan negara.
“Kesihatan ibu dan anak bukan sahaja mencerminkan tahap kemajuan sistem kesihatan sesebuah negara, malah menjadi penanda aras bagi keupayaan kita membina generasi yang sihat, cerdas, dan berdaya saing,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk memperbaharui komitmen dalam menjaga kesihatan sejak peringkat awal kehidupan sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia yang berlangsung hari ini.
“Sesungguhnya, permulaan yang sihat akan melahirkan masa depan yang lebih cerah untuk negara kita. Selamat Hari Kesihatan Sedunia 2025,” katanya.
-- BERNAMA