AM

NGA JUMPA PM HARI INI BINCANG FORMULA TERBAIK BANTU MANGSA KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS

07/04/2025 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membincangkan formula terbaik untuk membantu mangsa insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights.

“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk berbincang tentang fomula terbaik untuk membantu mangsa.

“Apabila ada keputusan, kami akan segera membuat pengumuman,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke-14, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai ketidakhadirannya di lokasi insiden dan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang cuba dijadikan isu oleh pihak tertentu, Nga berkata kritikan tersebut tidak perlu dilayan sebaliknya fokus beliau adalah untuk memberikan penyelesaian total kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Sebenarnya tidak perlu kita layan, kita lihat yang penting ialah selesaikan masalah rakyat. Setakat hari ini kita boleh lihat semua kementerian telah menyalurkan bantuan kepada mangsa yang telibat. 

“DAP sendiri telah kumpulkan sumbangan dan beri 100 peratus (dana tersebut) kepada mangsa-mangsa. Jadi semua orang membantu. Saya fokus untuk sediakan penyelesaian keseluruhan,” katanya.

Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 219 rumah dilaporkan terjejas dalam insiden itu, manakala 220 kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan