PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 163 dokumen kenderaan gantian secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, minggu lepas.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata dokumen tersebut dikeluarkan menerusi inisiatif Kaunter Bergerak JPJ Mobile di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights yang beroperasi dari 3 hingga semalam (6 April).
Perkhidmatan cetakan dokumen gantian secara percuma itu melibatkan 114 Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), 28 dokumen Lesen Memandu Kompeten (CDL), 17 dokumen Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan empat dokumen Lesen Vokasional (GDL).
“JPJ turut menerima 19 permohonan pembaharuan CDL serta memberikan 58 khidmat nasihat kepada mangsa kebakaran di Putra Heights berkaitan insurans kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata inisiatif kaunter bergerak dilaksana untuk meringkankan beban dan memudahkan mangsa yang kehilangan dokumen kenderaan dengan menggantikan dokumen pengangkutan yang musnah atau hilang secara percuma tanpa perlu membuat laporan polis.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 219 rumah dilaporkan terjejas dalam insiden itu, manakala 220 kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.
-- BERNAMA