HANOI, 6 April (Bernama-VNA) -- Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas permintaan Malaysia pada Ahad (6 April) bagi membincangkan hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa terkini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Semasa panggilan itu, Anwar memaklumkan kepada Chinh bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan menghoskan Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN pada Khamis (10 April) bagi menilai situasi semasa dan meneroka langkah-langkah untuk mengukuhkan kesalinghubungan dan kerjasama dalam blok itu berikutan dasar tarif yang baru diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Chinh menekankan usaha Vietnam dalam perbincangan dengan AS, termasuk perbualan telefon baru-baru ini antara Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dan Presiden AS Donald Trump pada 4 April lepas. Perbincangan mereka memberi tumpuan kepada penyelesaian halangan serta menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan ke arah perdagangan yang adil dan mampan yang mengimbangi kepentingan semua pihak.
Vietnam juga sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengurangkan tarif import kepada sifar peratus bagi barangan dari negara Amerika Utara, sambil meminta layanan serupa bagi eksport Vietnam ke pasaran Amerika Syarikat.
Menurut Chinh, pemimpin kedua-dua negara juga membincangkan kemungkinan menandatangani perjanjian dua hala bagi merasmikan komitmen itu dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Ho Duc Phoc akan mengadakan lawatan ke AS untuk terlibat dalam perbincangan khusus mengenai perkara berkenaan.
Perdana Menteri Vietnam itu turut menyambut baik inisiatif Malaysia untuk menganjurkan Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN dan mengesahkan penyertaan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam.
Anwar berkata Malaysia dan beberapa negara serantau menyambut baik serta menghargai perbualan antara Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam dengan Presiden Trump selain menyatakan sokongan terhadap pendekatan Vietnam berhubung isu tarif.
Anwar juga memberi taklimat kepada Chinh mengenai usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dalam menangani isu Myanmar, termasuk lawatan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Myanmar pada Sabtu (5 April). Beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk mempromosikan dialog dan memastikan perpaduan dalam menyelesaikan isu itu.
Sementara itu, Chinh memuji usaha Malaysia dalam menangani isu Myanmar, terutamanya sokongan yang berkesan, rasa tanggungjawab yang kuat dan peranan aktif dalam menyelaras tindakan bersama ASEAN untuk membantu Myanmar pulih daripada gempa bumi baru-baru ini.
Beliau turut berkongsi maklumat mengenai bantuan pantas Vietnam kepada Myanmar berikutan gempa bumi itu, termasuk penghantaran lebih 100 anggota penyelamat, penghantaran peralatan dan bekalan perubatan, serta pemberian bantuan sebanyak US$300,000.
Beliau menegaskan bahawa Vietnam akan terus secara aktif menyokong Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain serta bersedia untuk bertindak selaku perantara dalam usaha bersama untuk mempromosikan dialog dan perdamaian nasional di Myanmar.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan, meningkatkan kepercayaan dan menyelaras langkah-langkah untuk memperdalam lagi perkongsian strategik yang komprehensif demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran kedua-dua negara, rantau ini, dan dunia.
-- BERNAMA-VNA