KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bersedia sepenuhnya menyambut delegasi yang akan menghadiri Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) serta mesyuarat berkaitan bermula esok.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata persediaan tersebut bukan sahaja melibatkan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, malah turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
"Menariknya penganjuran kali ini, kita tengok banyak pihak yang terlibat termasuk daripada kerajaan-kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat yang datang untuk menolong menjayakan acara yang akan bermula esok," katanya kepada Bernama selepas sesi lawatan persiapan AFMGM ke-12, di sini hari ini.
Amir Hamzah menegaskan mesyuarat kali ini penting bagi mengeratkan lagi silaturahim semua negara ASEAN selain dapat merapatkan jurang antara negara anggota.
"Dalam mesyuarat kali ini juga, kita boleh menjalin hubungan ekonomi yang lebih erat antara semua negara-negara ASEAN, terutama sekali pada waktu pergolakan sedia ada.
"Saya berharap bukan sahaja mereka datang untuk berbincang dan bersetuju dengan apa kita hendak laksanakan dengan hala tuju yang akan datang tapi juga dapat menikmati hospitaliti di Malaysia ini," katanya.
Kira-kira 300 delegasi yang terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, pegawai daripada institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
AFMGM dijalankan bagi membincangkan mengenai kaedah dan cara untuk memajukan rantau ini daripada segi kewangan.
-- BERNAMA