AM

LEBIH 100,000 PENUMPANG GUNA FERI KE LANGKAWI SEMPENA AIDILFITRI

06/04/2025 06:39 PM

ALOR SETAR, 6 April (Bernama) -- Lebih 100,000 penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi serta sebaliknya, sepanjang Aidilfitri serta cuti sekolah baru-baru ini.

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata jumlah penumpang direkodkan bagi tempoh 10 hari bermula 27 Mac ialah 45,063 orang bagi laluan dari Kuala Kedah dan 55,649 orang untuk laluan Kuala Perlis.

"Secara purata, trip feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis adalah 10 perjalanan dengan trip tambahan dilaksanakan tertakluk kepada jumlah permintaan belian tiket yang tinggi.

"Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 30 trip tambahan disediakan bagi kesemua laluan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah meningkatkan tahap kesiagaan kesemua feri dimiliki syarikat, yang menjadi antara faktor menyumbang kepada kelancaran operasi feri pada musim perayaan itu.

"Operator feri telah memastikan semua feri boleh beroperasi pada tahap tinggi dan bersedia diaturgerakkan pada bila-bila masa. Kita juga akan menggunakan kaedah ini semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) nanti," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan