Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Di kala kanak-kanak lain bergembira menyambut Aidilfitri bersama sanak saudara, mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights yang terjejas akibat kebakaran saluran gas, tetap tidak dilupakan.
Tinjauan Bernama mendapati, MERCY Malaysia antara yang tampil menghidupkan ‘suasana’ berkenaan dengan pelbagai aktiviti dan permainan bagi mengukir senyuman dan kegembiraan mereka.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata pihaknya terpanggil membantu mangsa letupan gas di Putra Heights kerana rasa tanggungjawab sosial dan kemanusiaan untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas.
Baginya, situasi seperti ini memerlukan bantuan segera dari pihak berpengalaman dalam memberikan pertolongan, terutama kepada komuniti yang sedang berdepan dengan trauma dan kehilangan.
“Di PPS, MERCY menjalankan pelbagai aktiviti dan program untuk kanak-kanak seperti permainan interaktif, seni dan kraf, serta sesi kaunseling. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memberikan keseronokan dan mengalih perhatian berkaitan insiden itu sambil membantu mengekspresikan perasaan mereka.
“Pihak MERCY memilih membawa permainan sebagai sebahagian daripada program bantuan kerana ia dapat menjadi alat efektif untuk mengurangkan tekanan dan memperbaiki suasana kepada kanak-kanak,” katanya kepada Bernama.
Kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Setakat 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa berlindung di PPS Masjid Putra Heights adalah 375 orang daripada 96 keluarga.
Ahmad Faizal berkata sambutan dan reaksi kanak-kanak terhadap aktiviti dijalankan sangat positif lebih-lebih lagi apabila mereka menunjukkan minat yang tinggi untuk menyertai permainan dan aktiviti diadakan.
“Gelak tawa serta keinginan untuk terlibat dalam sesi-sesi tersebut menunjukkan bahawa mereka berasa lebih selesa dan gembira walaupun dalam keadaan sukar.
“Pembahagian perhatian dan penyertaan dalam aktiviti membantu meredakan ketegangan, hal ini kerana ia membantu dalam pemulihan psikologi atau trauma dengan memberikan ruang mereka mengekspresi perasaan dan memproses pengalaman traumatik melalui permainan dan interaksi sosial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MERCY Malaysia tetap meneruskan komitmen untuk memberi bantuan sedaya mungkin apabila berlaku sebarang bencana mahupun musibah di dalam negara yang memberi kesan kemanusiaan.
“MERCY juga ada menghulurkan bantuan secara langsung kepada mangsa tragedi dalam bentuk kit kebersihan kendiri yang dapat membantu mangsa menjaga kebersihan serta kesihatan diri dan keluarga.
-- BERNAMA