Oleh Shafry Salim
Beberapa kejadian pencerobohan tanah secara haram yang berlaku di dalam negara mutakhir ini telah mencetus suasana tegang berbaur perkauman dan keagamaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Bermula dengan isu pembinaan rumah-rumah ibadah secara tidak sah hinggalah yang terkini kekecohan yang berlaku akibat penguatkuasaan yang diambil ke atas pencerobohan tanah haram untuk aktiviti penanaman durian Musang King di Raub Pahang.
Teguran Sultan Pahang
Isu ini nampak memuncak apabila beberapa hari yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sendiri menzahirkan kemurkaan baginda terhadap aktiviti pencerobohan tanah haram dan menitahkan agar ia dihentikan.
Aktiviti pencerobohan tanah secara haram bukanlah satu isu yang baharu di Malaysia, ia berlaku sejak lepas merdeka lagi.
Namun usaha membendungnya seperti tiada keseriusan dari pihak berkuasa hingga ianya berterusan berdekad-dekad. Ia bukan sahaja melibatkan penggunaan tanah tanpa kebenaran, malah mengancam ekosistem, menjejaskan pembangunan, serta mengakibatkan kerugian besar kepada negara.
Kegiatan ini berlaku di kawasan hutan simpan, tanah milik kerajaan, rizab pertanian dan tanah persendirian, dan sering kali dilakukan untuk tujuan pertanian, penempatan haram atau pembalakan tanpa lesen.
Yang terkini, turut menjadi kebimbangan adalah peningkatan pendedahan kes pembinaan rumah-rumah ibadah secara tidak sah melalui pencerobohan tanah secara haram.
Oleh itu, strategi yang menyeluruh dan tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras aktiviti ini demi kesejahteraan dan keharmonian kaum di dalam negara serta kelestarian alam sekitar.
Perkukuh penguatkuasaan Pejabat tanah dan Galian, PBT dan Jabatan Hutan
Kerajaan perlu memperkukuh tindakan penguatkuasaan dengan meningkatkan kecekapan agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan.
Rondaan berkala, penggunaan teknologi pemantauan seperti dron dan imejan satelit, serta kerjasama antara agensi dapat mengenal pasti pencerobohan lebih awal.
Hukuman juga perlu dikenakan tanpa kompromi bagi memberi mesej jelas kepada penceroboh. Hukuman keras yang diambil terhadap penceroboh juga perlu disebarluaskan kepada khalayak supaya rakyat nampak keseriusan kerajaan dalam menangani isu ini.
Salah satu punca utama pencerobohan ialah kelemahan dalam sistem pendaftaran dan sempadan tanah.
Oleh itu, kerajaan boleh mempercepatkan proses digitasi data tanah, pemetaan yang tepat dan pendaftaran pemilikan tanah secara menyeluruh. Sistem maklumat geografi (GIS) boleh digunakan untuk menjejak dan mengesan perubahan penggunaan tanah.
Pejabat Tanah dan Galian perlu memaksimumkan penggunaan teknologi terkini pemetaan termasuklah penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
Kempen kesedaran hak milik tanah dan undang-undang berkaitan
Ramai penceroboh terdiri daripada penduduk tempatan yang secara sedar atau tidak sedar mereka menceroboh tanah kerajaan.
Maka, kempen kesedaran tentang hak milik tanah, undang-undang berkaitan dan kesan jangka panjang pencerobohan harus dipergiatkan.
Program pendidikan komuniti terutama di kawasan luar bandar boleh membantu mengurangkan kejadian pencerobohan.
Bagi pencerobohan yang berlaku akibat tekanan sosioekonomi, kerajaan boleh menyediakan alternatif sah seperti pemberian tanah rancangan FELCRA, FELDA atau skim pertanian mapan.
Tindakan ini bukan sahaja mengelak pencerobohan, malah dapat membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada kemiskinan. Namun mekanisme yang jelas dan berstruktur perlu diwujudkan supaya strategi ini berjaya mencapai objektifnya.
Perkenal program pemantauan komuniti, usaha cegah pencerobohan
Kerajaan juga boleh memperkenalkan program pemantauan komuniti yang mana penduduk tempatan dilibatkan dalam usaha mencegah pencerobohan.
Sultan Pahang dalam titahnya di Jerantut kelmarin turut menggesa rakyat untuk menjadi mata dan telinga kepada baginda dalam melaporkan segala aktiviti salah laku pencerobohan tanah haram ini.
Program seperti ‘Rakan Tanah’ atau ‘Rakan Hutan’ boleh diwujudkan untuk mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan komuniti terhadap kawasan mereka.
Kerugian ditanggung negara besar
Kerugian yang ditanggung negara akibat pencerobohan tanah secara haram ni amatlah besar. Tanah yang diceroboh secara haram tidak memberi pulangan kepada kerajaan dalam bentuk cukai atau sewa.
Sekiranya tanah tersebut digunakan untuk pertanian komersial atau pembalakan tanpa lesen, hasil sumber asli juga hilang tanpa manfaat kepada negara.
Aktiviti pencerobohan sering melibatkan penebangan hutan dan penggunaan bahan kimia tanpa kawalan. Ini mengakibatkan hakisan tanah, pencemaran sumber air, kehilangan biodiversiti dan mengganggu keseimbangan ekosistem.
Tanah yang diceroboh mungkin telah diperuntukkan untuk projek pembangunan seperti perumahan, industri atau infrastruktur awam. Pencerobohan menyebabkan pelan pembangunan terpaksa diubah atau ditangguhkan, seterusnya menjejaskan perancangan bandar dan ekonomi.
Proses mengusir ambil masa
Proses mengusir penceroboh melalui saluran undang-undang sering mengambil masa dan kos yang tinggi. Selain itu, ia boleh mencetuskan ketegangan antara penduduk dan pihak berkuasa serta menjejaskan imej kerajaan.
Isu pencerobohan pekebun durian di Raub sebagai contoh, ia secara mudah mencetuskan isu perkauman apabila secara kebetulan keseluruhan pekebun tersebut adalah dari satu kaum.
Sedangkan hakikatnya ia bukanlah isu berkaitan kaum tapi pelanggaran undang-undang dan peraturan yang telah sedia ada sejak dahulu.
Tanah yang telah diluluskan untuk pelaburan mungkin terganggu akibat pencerobohan. Ini memberi kesan buruk kepada keyakinan pelabur dan mengurangkan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing.
Tiba masa kuatkuasakan secara tegas
Sudah tiba masanya kerajaan secara tegas dan tuntas menguatkuasakan segala akta, peraturan dan undang-undang yang sedia ada untuk membanteras habis-habisan aktiviti pencerobohan tanah ini.
Terdapat beberapa akta utama yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa dalam membanteras pencerobohan tanah secara haram. Antaranya Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) yang merupakan undang-undang utama yang mengawal pemilikan, pengurusan dan penggunaan tanah di Semenanjung Malaysia.
Seksyen 425 KTN memperuntukkan kesalahan menceroboh atau menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, yang boleh didenda atau dipenjarakan.
Akta Perhutanan Negara 1984 juga boleh digunakan bagi kes tanah yang berada dalam hutan simpan kekal, akta ini digunakan untuk mengambil tindakan terhadap penceroboh yang menjalankan kegiatan seperti pembalakan haram atau pertanian tanpa permit.
Selain daripada itu, Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 juga boleh digunakan jika pencerobohan berlaku di kawasan yang melibatkan habitat hidupan liar, akta ini boleh digunakan bagi melindungi spesies terancam dan kawasan perlindungan.
Sekiranya pelanggaran peraturan berlaku terhadap binaan atau struktur haram di atas tanah yang tidak sah, pihak berkuasa tempatan boleh mengambil tindakan menggunakan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Bagi kes yang memerlukan kerajaan untuk memindahkan penceroboh yang mendiami tanah secara haram, Akta Penempatan Semula (Relocation of Squatters) 1969 boleh digunakan dalam menyediakan penempatan yang sah dan sesuai.
Peruntukan undang-undang mencukupi
Jelas di sini, kita telahpun mempunyai peruntukan undang-undang yang yang mencukupi dan menyeluruh dalam menangani isu pencerobohan tanah haram ini. Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh secara tegas dan konsisten oleh pihak berkuasa.
Tempoh masa pencerobohan yang panjang tidak boleh menjadi justifikasi untuk pihak berkuasa menganugerahkan tanah tersebut kepada penceroboh kerana ia akan petunjuk bahawa kerajaan akhirnya akan berlembut dengan penceroboh tegar.
Pencerobohan tanah secara haram merupakan isu serius yang menuntut tindakan segera, tegas dan holistik. Dengan menggabungkan pendekatan penguatkuasaan, pendidikan, teknologi dan komuniti, kerajaan mampu mengurangkan pencerobohan dan memastikan penggunaan tanah yang lebih teratur dan berkesan.
Di samping itu, pematuhan undang-undang perlu ditegakkan tanpa kompromi bagi menjamin kelestarian tanah negara untuk generasi masa depan. Kita tidak mahu isu ini menjadi barah yang bakal mencetus malapetaka kepada negara apabila ia dijadikan modal ketegangan kaum dan agama di negara ini.
-- BERNAMA
Shafry Salim ialah Pengarah Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).