Industri minyak dan gas merupakan tulang belakang ekonomi negara, dan lokasi Pengerang, Johor memainkan peranan penting dalam sektor ini.
Pengerang adalah sebuah daerah yang terletak lebih kurang 102 km dari Johor Bahru. Ia adalah pusat industri petrokimia Malaysia yang mana Kompleks Petrokimia Bersepadu Pengerang (PIPC) yang besar telah mengubah kawasan ini menjadi hab ekonomi utama.
Projek kerjasama Petronas dan Saudi Aramco ini telah mencipta banyak pekerjaan, meningkatkan infrastruktur dan menjadikan Malaysia sebagai hub petrokimia penting di rantau ini.
Kompleks yang merangkumi 80 km persegi di tenggara Johor, adalah hab petrokimia bertaraf dunia, menghasilkan pelbagai produk petrokimia bernilai tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Kedudukannya bersempadan dengan Singapura menjadikan ia lokasi strategik kerana terletak berdekatan dengan laluan perkapalan utama antara Timur Tengah dan China.
Sementara itu, Desaru pula sebuah kawasan peranginan pantai yang terletak lebih kurang 80 km dari Johor Bahru.
Kedudukannya di pantai timur Johor berdepan dengan Laut Cina Selatan, telah menjadikan ia destinasi pelancongan yang popular.
Dengan pantai yang indah, air laut yang jernih dan pasir yang lembut, Desaru adalah tempat yang sempurna untuk bersantai dan menikmati keindahan alam.
Selain pantai, Desaru juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti air contohnya jet ski dan parasailing, eksplorasi hutan bakau dan hutan simpan, padang golf bertaraf dunia dan taman tema air.
Desaru juga menyediakan pelbagai pilihan penginapan mewah dan bajet serta restoran yang menyajikan hidangan laut segar dan juga makanan tradisional tempatan.
Kerajaan Malaysia dan Singapura sebelum ini ada bersetuju mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di selatan Johor.
Perjanjian inisiatif ini ditandatangani secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, pada 7 Januari 2025.
Zon ia bertujuan untuk menggalakkan kerjasama strategik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi antara Malaysia dan Singapura. Zon ini menawarkan bayak insentif yang boleh menarik lebih ramai para pelabur dari dalam dan luar negara.
Pengerang dan Desaru telah digazetkan sebagai salah satu zon yang terbabit dalam inisiatif JS-SEZ.
Ini membuka peluang besar untuk menjadikan Pengerang sebagai hab ekonomi industri hiliran minyak dan gas serta industri petrokimia di rantau ASEAN dan meningkatkan profil Desaru sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia.
Jarak antara Desaru dan Pengerang adalah hanya 42 km . Lapangan terbang yang paling dekat dengan adalah Senai.
Jaraknya sejauh 84 km dari Desaru dan 109 km dari Pengerang. Perjalanan darat ketika keadaan lalu lintas normal di antara Lapangan Antarabagsa Senai ke Desaru mengambil masa lebih kurang satu jam dan ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang mengambil masa melebihi satu jam.
Kerana kepetingan kedua-dua industri ini untuk ekonomi Johor, wajarlah dipertimbangkan untuk mewujudkan sebuah lapangan terbang kecil yang strategik yang boleh memberi perkhidmatan pengangkutan udara kepada kedua-dua sektor industri ini.
Dengan adanya lapangan terbang khas di daerah ini, ia berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan produktiviti kedua-dua industri.
Infrastruktur pengangkutan yang efisien adalah kunci kepada kejayaan ekonomi, dan lapangan terbang ini mampu menawarkan perhubungan perkidmatan udara yang lancar dan mudah bagi pelebagai pihak berkepentingan yang terbabit dalam industri minyak dan gas dan juga industri pelancongan di zon ini.
Impak positif terhadap industri minyak dan gas Pengerang
Pembinaan sebuah lapangan terbang kecil berdekatan dengan PIPC akan membawa pelbagai kebaikan kepada industri minyak dan gas di kawasan tersebut
Pertama, lapangan terbang akan meningkatan kecekapan operasi seperti memudahkan pergerakan pekerja, juruteknik dan pakar antarabangsa ke lokasi projek.
Ini akan meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan masa perjalanan sekali gus bermakna mereka tidak perlu lagi menghabiskan masa yang lama untuk perjalanan darat.
Secara tidak langsung ini akan meningkatan produktivti. Dengan masa perjalanan yang lebih singkat, pekerja boleh menghabiskan lebih banyak masa untuk bekerja dan menyelesaikan projek dengan lebih cepat.
Seterusnya lapangan terbang ini akan memberi sokongan logistik yang jitu yang mana ia akan memudahkan pengangkutan peralatan, bahan dan komponen kritikal ke tapak projek dengan lebih cepat, selamat dan efisien dengan mengunakan pesawat.
Ini juga akan mengurangkan kerosakan barangan kerana barangan yang mudah rosak atau berharga tinggi boleh dihantar dengan lebih selamat menggunakan kaedah itu, Ini jauh lebih cepat berbanding dengan pengangkutan menggunakan kapal atau lori.
Kewujudaan lapangan terbang ini akan memberi akses yang lebih baik kepada pengangkutan udara, syarikat-syarikat minyak dan gas. Ini akan mengurangkan kos logistik dan operasi keseluruhan. Dengan operasi yang lebih lancar, syarikat boleh menjimatkan banyak kos dan meningkatkan keuntungan.
Impak positif terhadap industri pelancongan Desaru
Apabila akses ke tempat pelancongan menjadi lebih mudah, ia akan menarik lebih ramai kemasukan pelancong. Dengan adanya lapangan terbang, pelancong tidak perlu lagi menempuh perjalanan darat yang panjang dan meletihkan. Perjalanan ke Desaru akan menjadi lebih selesa dan cepat.
Ini akan membuat Desaru lebih mudah dicapai, baik bagi pelancong domestik mahupun antarabangsa. Dengan ada kemudahan pengakutan udara terus ke Desaru, kehadiran pelancongan ke daerah ini dijangka akan meningkat dan ini memberi manafaat dan impak yang positif pada ekonomi tempatan.
Kemudahan akses melalui lapangan terbang memungkinkan pelancong untuk memanjang tempoh masa untuk mereka tinggal di Desaru. Mereka akan tinggal lebih lama kerana tidak perlu lagi menempoh masa perjalanan berjam-jam di jalan raya untuk pulang.
Dan apabila tempoh masa kunjungan pelancong menjadi lebih lama, pelancong akan lebih banyak membelanjakan wang selama mereka berada di Desaru. Ini akan memberikan pulangan yang signifikan terhadap pendapatan pengusaha pelancongan tempatan.
Peningkatan pelancong dan inisiatif JS-SEZ akan membawa banyak pelabur baharu. Peningkatan jumlah pelancong akan menarik pelabur untuk membangun berbagai fasiliti yang berasaskan pelancongan seperti hotel, restoran dan tempat rekreasi. Secara tidak langsung ia akan mewujudkan persaingan positif antara penawar perkidmatan pelancongan dan akan mendorong peningkatan kualiti layanan yang ditawarkan.
Lapangan terbang ini juga boleh memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas serta pelancongan, terutama dari aspek perkhidmatan bomba dan kerja-kerja menyelamat di pantai.
Lapangan terbang yang berdekatan dengan operasi minyak dan gas memerlukan perkhidmatan bomba yang cekap untuk menangani sebarang insiden kebakaran yang mungkin berlaku.
Ini termasuk kebakaran yang melibatkan bahan bakar atau kompleks industri. Operasi pemadaman api melalui udara boleh membantu mempercepatkan proses memadam kebakaran dan usaha-usaha membawa mangsa kebakaran ke fasiliti perubatan di bandar berdekatan akan lebih mudah melalui udara.
Untuk industri peloncongan kerja-kerja menyelamat di pantai seperti operasi search and rescue lebih efektif dilakukan melalui udara.
Lapangan terbang yang berdekatan dengan pusat pelancongan pantai akan bekerjasama dengan perkhidmatan penyelamat pantai untuk memastikan keberkesanan operasi menyelamat di laut dan pantai.
Tindak balas kecemasan terhadap insiden seperti lemas atau kecederaan dapat dilakukan dengan segera apabila ada perkhidmatan pesawat penyelamat beroperasi di lapangan terbang berdekatan.
Perkhidmatan bomba yang cekap dan bersedia adalah kritikal untuk memastikan keselamatan dan kelancaran operasi di lapangan terbang, baik untuk industri minyak dan gas mahupun pelancongan.
Ini juga akan menambah keyakinan pelabur terhadap kewujudan dan kesiapsiagaan perkhidmatan bomba di zon ini.
Pembangunan sebuah lapangan terbang kecil berhampiran Pengerang dan Desaru mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin ekonomi yang signifikan bagi kedua-dua industri ini.
Ada yang akan berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sudah memadai namun manafaat yang bakal diperolehi seperti peningkatkan kecekapan operasi, pengurangan kos, penarikan pelaburan dan peningkatkan kedatangan pelancong, mewajarkan kewujudan lapangan terbang ini.
Meningkatnya jumlah pengunjung, akan memberi peningkatan pendapatan bagi masyarakat setempat, serta akan ada pembangunan infrastruktur yang lebih baik.
Banyak peluang pekerjaan akan wujud apabila lebih ramai pelabur beroperasi di daerah ini. Juga pembinaan dan operasi lapangan terbang ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk msyarakat setempat.
Perkhidmatan keselamatan bomba juga akan menjadi lebih efektif untuk mengatasi kebakaran dan mengendalikan operasi menyelamat apabila ada pesawat penyelamat di lapangan berdekatan.
Dengan perancangan dan pelaksanaan yang teliti, pembangunan lapangan terbang kecil di antara Pengerang dan Desaru akan memberikan impak yang positif dan besar bagi pertumbuhan industri minyak dan gas serta industri pelancogan.
-- BERNAMA
Mohamed Ismail KP Haji Pakir Mohamed ialah Pensyarah Kanan Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).