CCUS Dan Masa Depannya Di Malaysia

D
alam menangani perubahan iklim yang kini didepani dunia, kebanyakan negara memperhebat usaha untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar, dan kemunculan teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dilihat antara penyelesaian berpotensi.

CCUS ialah satu teknologi yang direka bagi memerangkap karbon dioksida di sumbernya seperti kilang dan juga atmosfera sebelum disimpan di bawah tanah untuk selama-lamanya atau digunakan sebagai stok suapan perindustrian.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), CCUS dilihat sebagai alat penting bagi mencapai matlamat tenaga dan iklim dunia, terutamanya dari segi pelepasan karbon yang secara teknikalnya sukar ditangani, selain kos terlampau tinggi.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam usaha meneroka teknologi ini apabila Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang CCUS pada 25 Mac lepas yang membuka ruang kepada inisiatif pemerangkapan karbon berskala besar merentasi sektor industri utama.

Walaupun kebanyakan pakar tempatan bersetuju masih banyak perkara tidak “dijawab” oleh rang undang-undang itu dari segi sumbangan CCUS kepada matlamat iklim negara, mereka sependapat bahawa undang-undang tersebut adalah langkah ke depan, selaku projek pemangkin utama dan komponen penting Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan, dengan matlamat menampung keperluan negara-negara yang mahu menggunakan CCUS bagi mengurangkan pelepasan karbon mereka.

Namun, selepas hampir dua bulan diluluskan, masih belum dipastikan tarikh rang undang-undang tersebut akan diwartakan dan dilaksanakan, sementara mereka yang bercanggah pandangan terus berbahas tentang CCUS sama ada teknologi itu benar-benar diperlukan oleh Malaysia di sebalik kos kewangan dan risiko kepada alam sekitar.

 

PENTING UNTUK PELEPASAN KARBON SIFAR 

Alex Zapantis, Penasihat Strategik bagi Pasaran CCS (Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon) Baru Muncul Institut CCS Global, berkata sekalipun bukan penyelesaian untuk semua, CCUS merupakan komponen penting dalam usaha global mencapai pelepasan karbon sifar, terutama di Asia Tenggara.

Katanya walaupun CCUS tidak harus dilihat sebagai pengganti kepada tenaga boleh baharu, nuklear atau penambahbaikan kecekapan tenaga, ia masih teknologi penting terutama bagi sektor perindustrian yang masih belum mempunyai alternatif.

Alex Zapantis, Penasihat Strategik bagi Pasaran CCS (Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon) Baru Muncul Institut CCS Global.

“Kebanyakan laporan dan analisis antarabangsa menunjukkan  kita perlu menggunakan setiap alat yang ada untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Jika kita tolak semua alat ini, maka usaha akan lebih sukar, lebih mahal, malah mungkin mustahil,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama  baru-baru ini.

Tentang hidrogen sering dipromosikan sebagai alternatif lebih bersih untuk proses seperti pengeluaran keluli melalui direct reduced iron (DRI), Zapantis berkata pengeluaran hidrogen bersih pada skala komersial itu sendiri masih banyak bergantung pada teknologi CCS.

“Untuk menghasilkan hidrogen dengan pelepasan rendah, CCS masih merupakan kaedah paling menjimatkan kos dan boleh dikembangkan secara besar-besaran,” katanya.

Dari segi tenaga, Zapantis berkata wujud salah tanggapan bahawa CCS bersaing dengan tenaga boleh baharu sedangkan dalam konteks Asia Tenggara, kedua-dua elemen ini sepatutnya dilihat sebagai saling melengkapi.

“Kita perlu menggunakan sebanyak mungkin tenaga boleh baharu, namun ada had dari segi kemampuan grid untuk menampung memandangkan sifat tenaga itu sendiri yang tidak menentu. CCS melengkapi tenaga boleh baharu, bukan bersaing dengannya,” tambah beliau.

 

PENYELESAIAN BERASASKAN ALAM SEKITAR

Apabila ditanya sama ada penyelesaian berasaskan alam semula jadi (NbS) seperti hutan dan kawasan serapan karbon hijau boleh menggantikan CCUS dalam menyerap karbon dioksida, Zapantis berkata pendekatan itu, walaupun penting, mempunyai had yang tersendiri.

“NbS memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim, tetapi ia tidak boleh menggantikan CCUS. Ia dikekang oleh ketersediaan tanah dan kurang selamat berbanding penyimpanan karbon di bawah tanah melalui CCS,” jelasnya.

Memetik penemuan Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Amerika Syarikat, Zapantis berkata had maksimum pengurangan karbon dioksida secara berkesan melalui NbS di seluruh dunia dianggarkan hanya sekitar lima hingga tujuh gigatan setahun.

“Jika melebihi had itu, NbS mula bersaing dengan keperluan asas lain seperti pengeluaran makanan, sumber gentian, air dan biodiversiti. Bila kita lihat bahawa pelepasan global mencecah kira-kira 40 gigatan setiap tahun, sumbangan NbS terlalu sedikit berbanding keperluan,” katanya.

CCUS ialah teknologi yang direka untuk menangkap karbon dioksida (CO2) daripada sumber mata seperti kilang atau terus dari atmosfera.

Zapantis berkata satu lagi cabaran utama NbS ialah daya tahannya dalam menyimpan karbon untuk jangka masa panjang.

“CCS menawarkan bentuk penyimpanan yang lebih selamat. Hasil daripada lebih satu abad operasi minyak dan gas serta kajian geologi selama beberapa dekad, kita tahu bahawa karbon dioksida akan kekal tersimpan apabila disimpan dalam takungan bawah tanah yang dipilih dengan betul.

“Malah jika berlaku kebocoran, ia boleh dikesan dan dibaiki menggunakan teknologi minyak dan gas sedia ada,” katanya.

Sebaliknya, karbon yang disimpan di dalam pokok atau tanah, terdedah kepada risiko semula jadi dan gangguan manusia seperti kebakaran hutan, serangan makhluk perosak, kemarau dan perubahan guna tanah.

“Jika pokok-pokok itu musnah, sama ada disebabkan kebakaran, penyakit, atau pembalakan, karbon tersebut akan dilepaskan semula ke atmosfera. Risiko pelepasan semula ini jauh lebih tinggi berbanding CCS,” tambahnya.

Tegas beliau lagi, strategi paling berkesan adalah dengan menghalang pelepasan karbon daripada memasuki atmosfera sejak awal.

“CCUS melaksanakan perkara ini dengan memerangkap karbon dioksida terus di sumbernya, sama ada loji jana kuasa atau fasiliti industri, dan menyimpannya dengan selamat. Ini jauh lebih berkesan berbanding melepaskan karbon dan kemudian cuba menghapuskannya,” katanya.

Apabila ditanya sama ada CCUS boleh disalahgunakan dan dijadikan sebagai alasan untuk terus menggunakan bahan api fosil, Zapantis menjawab dengan tegas:

“CCUS harus dilihat sebagai satu komponen dalam strategi iklim secara menyeluruh, merangkumi tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi. Ia bukan bertujuan memanjangkan hayat penggunaan bahan api fosil tetapi untuk menguruskan pelepasan daripada sektor-sektor yang sukar dikurangkan pelepasan.

“Di Asia Tenggara, di mana permintaan tenaga terus meningkat dan bahan api fosil masih mendominasi campuran tenaga, CCUS amat penting untuk mencapai sasaran pelepasan karbon,” katanya.

 

PENTINGNYA KESELAMATAN 

Walaupun CCUS dianjurkan sebagai teknologi penting bagi membantu Malaysia dan Asia Tenggara memenuhi sasaran pelepasan sifar bersih,  ada pihak menzahirkan kegusaran tentang keselamatan CCUS, terutama bagi penyimpanan karbon di luar pesisir.

Pakar dasar iklim Dr Gary Theseira berkata teknologi pemantau semasa belum lagi matang untuk memastikan keselamatan karbon dioksida yang disalurkan ke bawah dasar laut, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang kebocoran yang tidak dapat dikesan serta liabiliti jangka panjang.

Pakar dasar iklim Dr Gary Theseira

“Pada masa ini belum ada teknologi yang dapat memantau dasar laut dengan berkesan selepas karbon dioksida disalurkan ke luar pesisir.

“Kalau berlaku kebocoran, ia akan meresap ke dalam air masin hampir dalam sekelip mata - hilang tanpa dapat dikesan,” katanya kepada Bernama.

Theseira yang juga Pengerusi Majlis Tadbir Urus Iklim Malaysia berkata NbS sudahpun memainkan peranannya dalam penyerapan karbon.

“Kita sudah ada hutan dan kawasan penyerapan karbon hijau yang menjalankan fungsinya. Mungkin kita perlu salurkan lebih banyak pelaburan untuk meningkatkan lagi fungsinya. Malah sisa biomass daripada sistem alam semula jadi seperti dahan yang dipotong dan kayu mati boleh ditukar menjadi biochar, iaitu satu bentuk penyerapan karbon lebih stabil,” katanya yang melihat biochar sebagai alternatif yang lebih berpotensi.

“Ia satu bentuk CCUS cuma dalam pendekatan berbeza dan risikonya kurang,” tambahnya.  

(Biochar ialah bahan seperti arang yang dihasilkan menerusi  pembakaran bahan organik daripada pertanian dan perhutanan serta sisa hutan (juga dipanggil biomass) dalam proses terkawal dikenali sebagai pirolisis. Sekalipun kelihatan seperti arang biasa, biochar dihasilkan menerusi proses khusus untuk mengurangkan pencemaran selain dapat menyimpan karbon dengan selamat)

 

RANGKA KERJA DASAR KOHEREN

Theisera berkata kerajaan perlu menimbang untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Kebangsaan (RUUPIN) terlebih dahulu sebelum meneruskan dengan CCUS dan pelaksanaan cukai karbon.

Beliau berkata tanpa rangka kerja dasar dan perundangan yang koheren, usaha bagi mengurangkan perubahan iklim melalui alat seperti CCUS dan penetapan harga karbon mungkin tidak saling membantu.

“Semua mekanisme ini - CCUS, cukai karbon dan peraturan pelepasan lebih luas - mesti menyokong hasil yang sama. Kalau tidak, kita berisiko mempunyai sektor berbeza melobi untuk kepentingan sendiri seperti yang kita saksikan dalam sektor automotif,” katanya.

Pada 5 Feb tahun ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan sedang menggubal RUUPIN sebagai usaha mencapai pelepasan karbon sifar pada 2050 yang menuntut perubahan radikal daripada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhan.

Pada Mac lepas, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan berkata pihaknya mahu undang-undang CCUS dikuatkuasakan menjelang 31 Mac tahun ini bagi memastikan negara berpeluang meraih pelaburan jangka panjang.

Kenyataan Rafizi itu menimbulkan kebimbangan bahawa desakan untuk penguatkuasaan CCUS tersebut lebih kepada keputusan ekonomi yang bertopengkan alam sekitar.

 

RISIKO KEBOCORAN 

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia  Meenakshi Raman berkata kerajaan harus mengambil kira risiko pencemaran sumber air daripada kebocoran tapak CCUS.

Katanya undang-undang CCUS tidak memperuntukkan perlindungan yang mencukupi untuk alam sekitar dan kesihatan awam, dan ini perlu ditangani terlebih dahulu sebelum Malaysia meneruskan sebarang bidaan projek CCUS. 

Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman

“Projek CCUS sering dikaitkan dengan kadar kegagalan dan pembatalan yang tinggi, selain terdedah kepada lebihan kos yang besar dan boleh menyebabkan aset terbiar,” katanya.

Meenakshi merujuk satu laporan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kesan toksik daripada penyelesaian perubahan iklim yang dicadangkan, yang menekankan tahap penggunaan bahan kimia yang tinggi dalam proses penangkapan karbon. Menurut laporan itu, proses ini boleh melepaskan sejumlah besar bahan berbahaya, termasuk ammonia yang sangat toksik, ke persekitaran komuniti.

“Pada kepekatan tinggi, karbon dioksida ialah gas beracun dan boleh menyebabkan sesak nafas, mengakibatkan kegagalan peredaran darah, koma, malah kematian,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang kurangnya penyertaan inklusif dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaksanaan CCUS.

“Setakat ini, pertubuhan sivil dan kumpulan berasaskan komuniti masih belum dilibatkan dalam mesyuarat agensi CCUS. Semua pelantikan dibuat atas budi bicara kementerian, sekali gus mengehadkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan kepelbagaian pandangan,  terutamanya pandangan yang mungkin mencabar keutamaan kerajaan atau industri,” tambahnya.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.