P
erbualan secara tidak sengaja dengan seorang peniaga telefon bimbit di Plaza Low Yat di sini tentang lebih 4,000 unit telefon bimbit rosak dalam simpanannya pada 2019, membuka mata Mohamed El-Fatatry tentang isu sisa elektronik atau e-sisa di negara ini.
Keluhan peniaga dikenali sebagai Lim yang dia tidak tahu apa harus dilakukan dengan kesemua telefon bimbit pelbagai jenama itu, termasuk dari era sebelum kelahiran telefon pintar, mendorong El-Fatatry, 40, seorang usahawan berketurunan Arab warga Finland, menyelidik lanjut isu berkenaan.
“Sebelum ini saya tertanya-tanya di mana rakyat negara ini lupuskan telefon bimbit dan lain-lain peranti elektrik serta elektronik mereka.
“Rupa-rupanya ramai yang tidak lupuskan, sebaliknya cuma ‘simpan’ di dalam laci, kalaupun tidak diserahkan kepada peniaga. Namun, paling teruk, ada yang buang bersama-sama dengan sisa domestik mereka,” katanya ketika ditemui Bernama sebelum ini.
Justeru, beliau tidak terkejut apabila mendapati kadar kitar semula di negara ini masih rendah, iaitu kira-kira 30 ke 35 peratus sekalipun Malaysia mempunyai lebih 50 kemudahan kitar semula.
Isunya kata beliau, bukan disebabkan oleh ketiadaan kemudahan, tetapi penggunaan kemudahan itu.
El-Fatatry yang ketika itu baru sahaja mengambil alih sebuah syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan pengangkutan awam, membuat keputusan untuk menukar jenis perniagaan kepada kitar semula e-sisa.
Hasilnya, lahirlah ERTH atau “Electronic Recycling Through Heroes” pada tahun sama.
ISU SEMAKIN MERUNCING
Sikap rakyat Malaysia yang suka "menyimpan” peranti elektrik dan elektronik rosak, sama ada secara sedar atau tidak, menyumbang kepada masalah e-sisa yang semakin meruncing, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar di negara ini.
“Memang jelas penyelesaian yang ada tidak dimanfaatkan oleh masyarakat, mungkin kerana sukar diakses ataupun mereka tidak memahami natijah pelupusan barang elektronik/elektrik secara semberono,” katanya.
ERTH yang turut disokong oleh Khazanah Nasional Berhad menerusi pegangan ekuiti, menyasarkan untuk menjadikan usaha kitar semula lebih mudah, berganjaran serta mudah diakses dari seluruh negara.

Kini, ERTH merupakan antara perusahaan hijau yang paling pesat berkembang di Malaysia.
Mengimbas kembali perbualannya dengan pemilik kedai telefon bimbit itu, El-Fatatry berkata vendor berkenaan mengakui dalam dilema tentang bagaimana hendak melupuskan peranti yang sudah tidak boleh digunakan tersebut.
“Dia tidak mahu kesemua telefon bimbit terbabit berakhir di tapak pelupusan sampah, dan pada masa sama dia risau tentang aspek keselamatan (dari segi kecurian data dan lain-lain) sekiranya dihantar ke pusat kitar semula, “ ulas El-Fatatry.
Mengambil kira kebimbangan itu, ERTH menawarkan jaminan dari segi keselamatan data yang masih tersimpan dalam telefon bimbit dan peranti pintar lain yang dihantar kepadanya untuk dikitar semula.
ERTH BERKEMBANG
Hanya dalam tempoh beberapa tahun beroperasi, kedudukan ERTH dalam sektor itu semakin kukuh dengan nama-nama besar industri elektrik dan elektronik, perbankan malah kerajaan negeri menjadi pelanggannya.
Beroperasi dengan model yang mudah, iaitu mengambil barangan elektrik dan elektronik lama atau rosak dari pelbagai premis termasuk kediaman sebelum dihantar untuk kitar semula.
“Tetapkan tarikh dan masa, ‘hero’ e-sisa kami akan datang ambil barangan tersebut secara percuma. Sekiranya barangan elektrik atau elektronik itu masih berfungsi, kita akan bayar anda pada kadar tertentu, dan jika sudah rosak, kita akan ambil untuk dikitar semula tanpa sebarang caj,” katanya, menambah mereka turut memberikan sijil pengesahan pemusnahan data kepada pelanggan.
“Yang membezakan kami dengan pemain lain dalam industri ini ialah kami memudahkan proses, telus serta memberi ganjaran serta-merta. Masyarakat memang ingin lakukan perkara yang betul, cuma mereka tidak mahu perkara itu menyusahkan mereka,” katanya.
EKONOMI KITARAN SEPENUHNYA
ERTH bukan setakat mengambil dan mengitar semula. Di ibu pejabatnya di sini, syarikat itu turut membaik pulih barangan elektrik dan elektronik yang masih boleh digunakan seperti cerek, seterika dan komputer riba; dan menjualnya semula pada harga mampu milik, terutamanya kepada pelajar antarabangsa dan usahawan muda.
Menariknya, ramai daripada pelanggan terbabit kembali untuk mengitar semula barangan yang sama, sekali gus melengkapkan pusingan ekonomi kitaran.

Ramai rakyat Malaysia belum sedar bahawa e-waste yang dibuang sembarangan boleh melepaskan toksin seperti merkuri ke tanah dan air.
Kitaran guna semula dan kitar semula ini bukan setakat membantu alam sekitar, malah menyokong komuniti. El-Fatatry memastikan perkhidmatan syarikatnya sampai kepada golongan paling memerlukan - individu yang mempunyai belanjawan terhad, syarikat pemula niaga dan golongan berpendapatan rendah - agar dapat membeli peranti terpakai pada harga berpatutan.
Semasa penularan pandemik COVID-19, kreativiti ERTH terserlah apabila mereka mengubah suai mesin kabus pembasmi kuman yang sudah ketinggalan dari segi teknologi, menjadi penyegar udara automatik.
“Nak lupus, rasa rugi,” katanya, mencerminkan semangat syarikat dalam mencari penyelesaian kreatif dan mengurangkan pembaziran.
Sejak ditubuhkan, ERTH telah mengitar semula lebih 2.5 juta kilogram sisa elektronik, menghalang bahan kimia beracun dan logam berharga daripada berakhir di tapak pelupusan sampah. Perkhidmatan ERTH kini meliputi Lembah Klang, Pulau Pinang serta Johor Bahru, dan dengan kerjasama bersama-sama dengan Pos Malaysia, semua pejabat pos di seluruh negara kini menjadi lokasi “drop-off” rasmi e-sisa.
Program rakan kongsi ERTH yang membolehkan individu mengumpul sisa elektronik dan mendapat komisen, kini melibatkan lebih 200 pengitar semula dengan sebahagian daripada mereka melakukannya secara sambilan, manakala yang lain pula menjadikannya sumber pendapatan utama.
“Kami bukan sekadar membina rangkaian kitar semula, tetapi juga membina sumber rezeki,” tambah El-Fatatry.
UBAH PEMIKIRAN DAHULU SEBELUM UBAH SIKAP
Walaupun Malaysia mempunyai infrastruktur kitar semula yang serba lengkap, tahap kesedaran masyarakat masih rendah. Kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak sedar bahawa sisa elektronik yang dibuang secara tidak betul boleh membebaskan bahan berbahaya seperti plumbum, kadmium dan merkuri ke dalam tanah dan air. Kitar semula secara tidak formal yang lazimnya dilakukan tanpa kawalan keselamatan dan pembakaran terbuka, bagaimanapun masih banyak berlaku.
“Ramai yang fikir kalau mereka jual telefon lama mereka kepada peniaga, maka mereka dah buat perkara yang betul. Akan tetapi, selalunya telefon terbabit akan dicerai-berai untuk diambil logam dan selebihnya dibuang secara haram,” jelas beliau.
Untuk menangani masalah itu, ERTH melaburkan lebih RM1 juta setiap tahun bagi mendidik orang ramai, termasuk membiayai iklan dalam talian, program sekolah dan kempen komuniti. El-Fatatry percaya kos itu boleh dikurangkan jika kesedaran tentang kitar semula diterapkan dalam kurikulum sekolah dan disokong dengan dasar kerajaan.

Konsep 'circular economy' yang menekankan guna semula dan kitar semula bukan saja lindungi alam sekitar, tapi juga sokong komuniti.
Usaha beliau itu meningkatkan perhatian masyarakat terhadap bahaya sisa elektronik dan pentingnya pelupusan dengan cara betul.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan pengurusan sisa elektronik yang mampan berasaskan data, ERTH Malaysia juga telah mengintegrasikan AI dalam pelbagai aspek operasi mereka. Jelas beliau, syarikat itu menggunakan algoritma AI untuk menganalisis data sejarah dan ciri-ciri khusus setiap peranti, bagi menentukan sama ada peranti tersebut boleh diguna semula, dibaiki atau dihantar untuk pemerolehan komponen.
“Kami gunakan AI untuk menentukan sama ada sesuatu peranti atau komponennya sesuai digunakan semula, dibaiki atau dikitar semula,” katanya, menambah mereka mengumpulkan data tersebut selama bertahun-tahun untuk menyokong proses membuat keputusan.
Selain itu, alat AI juga digunakan dalam aliran kerja pemasaran digital ERTH untuk mengoptimumkan prestasi kata kunci dan menambah baik metadata produk, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan penglibatan, selari dengan misi syarikat untuk melindungi alam sekitar.
DARIPADA MATLAMAT KORPORAT KEPADA IMPAK KOLEKTIF
Menurut El-Fatatry, banyak syarikat sedang mencari kaedah lestari yang cekap kos bagi memenuhi sasaran ESG (alam sekitar, sosial, tadbir urus) dan ERTH penuhi keperluan itu.Seorang daripada pelanggan mereka dilaporkan berjaya menjimatkan lebih RM200,000 selepas beralih daripada perkhidmatan pelupusan IT biasa.
Satu aspek penting lain ialah keselamatan data. ERTH menyediakan sijil pelupusan dan, jika diperlukan, sijil pemusnahan data untuk cakera keras, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan. Fokus pada keselamatan menjadikan ERTH rakan kongsi yang dipercayai, terutamanya bagi syarikat yang menguruskan maklumat sensitif.
Namun impaknya bukan setakat itu. Organisasi korporat turut menjalin kerjasama dengan ERTH bagi menjalankan program CSR yang menggalakkan kakitangan membawa e-sisa dari rumah masing-masing ataupun menaja program lestari berpangkalan di sekolah.
Baginya, penglibatan korporat itu adalah kunci yang dapat mengubah budaya pengurusan sisa elektronik di Malaysia.
“Jika syarikat-syarikat besar menjadi peneraju, ia menghantar mesej yang jelas kepada pekerja dan komuniti tentang betapa pentingnya kelestarian,” kata El-Fatatry..
Dengan ruang tapak pelupusan yang semakin berkurang dan krisis iklim yang kian memburuk, misi ERTH adalah untuk menjadikan aktiviti kitar semula lebih mudah, memberi ganjaran dan lebih inklusif berbanding sebelum ini.
“Sepatunya mudah bagi kita untuk lakukan perkara yang betul. Kami percaya, jika seseorang itu diberikan alat dan insentif yang betul, mereka akan bertindak secara bertanggungjawab,” katanya mengakhiri perbualan.