IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Sembilan jenazah dan jasad anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan semalam selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di FRU Unit 5, Sungai Senam di sini pada 3.46 pagi ini.
Diberikan istiadat kepahlawanan PDRM, kesemua keranda jenazah dan jasad yang tiba pada 3.13 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu dilitup dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
Tujuh jenazah anggota FRU yang beragama Islam kemudian disolatkan di Surau Al-Mustakim diimamkan oleh Ustaz Azrul Zaimi Muhammad Ali.
Terdahulu, jenazah dan jasad kesemua anggota FRU itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada 12.33 tengah malam selepas selesai bedah siasat sebelum tujuh jenazah beragama Islam disolatkan di surau IPD Hilir Perak.
Lebih 500 waris mangsa dan anggota polis menyaksikan perjalanan terakhir perwira negara itu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.
Selesai istiadat di FRU Unit 5, Sungai Senam, semua waris turut memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dan jasad anggota FRU itu dibawa ke lokasi masing-masing untuk dikebumikan.
Insiden pada kira-kira 8.50 pagi Selasa itu menyaksikan sembilan anggota FRU terkorban apabila kenderaan dinaiki mereka, yang dalam perjalanan ke Ipoh selepas satu penugasan di Teluk Intan, dirempuh lori membawa muatan batu menyebabkan lapan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial